BERITA SEMASA

Undang-undang siber perlu dipinda – Azalina

KUALA LUMPUR – Undang-undang siber negara perlu dipinda kerana perundangan yang ada sekarang umpama ‘basikal buruk’.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menggunakan analogi undang-undang siber di negara ini ibarat antara sebuah kereta dan basikal.

Katanya, pindaan yang perlu dilakukan bukan hanya substantif tetapi juga prosedur supaya kerajaan dapat berhadapan dengan isu seperti penipuan scammer.

“Kerajaan Madani kini sedang dalam proses merangka satu akta baharu yang merangkumi peruntukan berhubung dengan tatacara dan penguatkuasaan kill switch untuk meningkatkan keselamatan digital secara terperinci dan jelas.

“Selaras dengan keperluan semasa serta perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan kes jenayah siber yang semakin meningkat,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang bertanyakan usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan bagi mengatasi masalah penipuan scammer dalam talian yang semakin berleluasa.

Azalina menjelaskan, proses merangka akta baharu itu adalah berdasarkan mesyuarat dan sesi libat urus yang diadakan.

“Berdasarkan mesyuarat dan sesi libat urus didapati bahawa perundangan sedia ada tidak seiring dengan perkembangan teknologi semasa yang pesat.

“Ia menyebabkan penipuan dalam alam maya semakin berleluasa sehingga platform yang ada tidak lagi selamat dan dicemari dengan pelbagai jenayah, termasuklah penipuan dalam talian.

“Terdapat keperluan segera bagi pewujudan satu sistem kill switch melalui perundangan dalam memberhentikan aktiviti-aktiviti penipuan dalam mana-mana domain atau platform dalam talian di Malaysia secara serta-merta,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button