BERITA SEMASA

Dewan Rakyat: Cadangan Pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia dibentang hari ini

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini mencatat satu lagi detik bersejarah apabila cadangan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dijadual dibentangkan buat pertama kali selepas 26 tahun dikuatkuasakan.

Pindaan itu bertujuan memperkukuh kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengawal sistem komunikasi, termasuk menyiasat kes berita palsu di media sosial.

Mengikut Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan di laman web Parlimen, Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 akan dibentangkan selepas sesi soal jawab lisan.

Turut disenaraikan ialah RUU Profesion Undang-Undang (Pindaan) 2024 oleh Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) serta RUU Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2024.

Pindaan Akta 588 itu dijangka memberi fokus kepada tiga kategori utama, iaitu pembangunan industri, keselamatan rangkaian, dan penggunaan media baharu.

Penambahbaikan terhadap Seksyen 233 yang berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan atau rangkaian turut dijangka menjadi antara aspek utama yang dibincangkan.

Menurut sumber, pindaan itu dicadangkan susulan cabaran Kementerian Komunikasi untuk mengesan individu yang menggunakan akaun palsu di media sosial.

Antaranya, penyedia platform media sosial akan diminta mengetatkan garis panduan seperti mewajibkan nombor telefon bagi pendaftaran akaun baharu.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching memaklumkan, sebanyak 21,156 kandungan palsu telah diturunkan oleh penyedia platform sejak 2022 hingga 15 November lalu, berdasarkan standard komuniti yang ditetapkan.

“Setakat ini, sebanyak 198 kes berkaitan kandungan palsu disiasat oleh pihak berkuasa. Daripada jumlah itu, lima kes telah didakwa oleh Jabatan Peguam Negara dan hukuman telah dijatuhkan,” katanya ketika menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) di Parlimen baru-baru ini.

Beliau turut menyatakan bahawa pindaan ini akan memperkenalkan seksyen baharu untuk memperkukuh kuasa penguatkuasaan sedia ada, termasuk mewajibkan penyedia platform membekalkan data tertentu kepada pihak berkuasa untuk tujuan siasatan.

RUU itu diharap dapat menangani isu penggunaan media sosial secara tidak bertanggungjawab, selaras dengan perkembangan teknologi dan keperluan keselamatan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button