Lebih 800 pelancong China ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen
KUALA LUMPUR – Seramai 3.45 juta pelawat dari China direkodkan masuk ke Malaysia sehingga 30 September lalu, dengan 871 individu ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
Daripada jumlah itu, seramai 418 pelancong ditahan kerana menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) untuk bekerja atau berniaga di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah tersebut menunjukkan kadar penyalahgunaan pas berkenaan masih rendah, iaitu hanya 0.013 peratus daripada keseluruhan pelawat China yang masuk ke Malaysia bagi tempoh berkenaan.
“Kerajaan memandang serius isu warga asing yang masuk ke Malaysia menggunakan PLS tetapi kemudian didapati bekerja atau menjalankan aktiviti perniagaan secara tidak sah di bawah Peraturan 11(7)(a), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Pada 2024, jumlah ketibaan pelawat dari China ialah 3.95 juta orang dan hanya 1,009 warga China ditangkap atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Daripada jumlah itu, 309 individu ditahan kerana menyalahgunakan PLS untuk bekerja atau berniaga, bersamaan 0.008 peratus daripada jumlah keseluruhan ketibaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Ching Chueng Jen (PH–Stampin) yang meminta penjelasan kerajaan mengenai langkah mengawal warga China yang datang ke Malaysia untuk bekerja atau berniaga menggunakan pas lawatan sosial, sehingga menjejaskan pendapatan peniaga tempatan.
Menurut Saifuddin, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melaksanakan penguatkuasaan secara berkala dan bersasar di seluruh negara bagi memastikan isu berkenaan dapat dikawal sepenuhnya, termasuk di 224 kawasan panas (hotspot) yang dikenal pasti menjadi tumpuan warga asing.
“Antara tindakan diambil termasuk pelaksanaan Ops Belanja, Ops Jaja dan Ops Selera yang menumpukan kepada majikan yang menggajikan atau melindungi pendatang tanpa izin (PATI).
“Selain itu, operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain turut dijalankan bagi memastikan tindakan lebih menyeluruh.
“Jabatan Imigresen juga menugaskan pegawainya menjalankan pemantauan omnipresence, naziran dan inspektorat penguatkuasaan di pelbagai lokasi seperti pasar borong, pusat perniagaan, institusi pendidikan serta kawasan perumahan yang dikenal pasti menggajikan pekerja asing tanpa izin,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








