BERITA SEMASA

1,572 kawasan cerun berisiko tinggi – Alexander

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya mengenal pasti 1,572 kawasan cerun di seluruh negara sebagai kawasan berisiko tinggi.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, angka itu merupakan sebahagian daripada 34,633 cerun yang telah disenaraikan di sepanjang Jalan Persekutuan berdasarkan data Peta Bahaya dan Risiko Cerun.

“Bagi jalan negeri di Semenanjung Malaysia, pengumpulan data Peta Bahaya dan Risiko Cerun melibatkan 2,100 kilometer panjang jalan bercerun dan telah disiapkan pada Ogos 2025.

“(Sehubungan itu) JKR (Jabatan Kerja Raya) melalui CKC (Cawangan Kejuruteraan Cerun) turut mengambil langkah proaktif menghadapi Monsun Timur Laut 2025 hingga 2026, meliputi strategi pra bencana, semasa dan pasca bencana bagi memastikan Jalan Persekutuan serta cerun sentiasa berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Alexander berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Mohd Azizi Abu Naim (Bebas–Gua Musang) berhubung persediaan kementerian menghadapi monsun timur laut bagi memastikan jalan persekutuan dan cerun sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat.

Tambahnya, kawasan cerun berisiko tinggi dan sangat tinggi yang dikenal pasti di sepanjang jalan persekutuan akan dipantau secara rapi dengan peningkatan kekerapan rondaan dan pemeriksaan yang dilaksanakan pejabat JKR daerah dan negeri.

“Sistem perparitan pada cerun-cerun ini juga akan diperiksa bagi memastikan ia berada dalam keadaan baik di sepanjang rangkaian jalan persekutuan dan negeri.

“JKR juga bersiap siaga untuk bertindak balas terhadap kejadian tanah runtuh melalui tindakan pra-rancangan, termasuk kerja pembersihan sisa runtuhan, pengalihan trafik, mewujudkan laluan alternatif sementara serta pemasangan langkah perlindungan seperti helaian propilena bagi menahan runtuhan cerun susulan sebelum kerja pembaikan kekal dijalankan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button