BERITA SEMASA

Hati-hati keluarkan kenyataan sentuh sensitiviti kaum – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegur supaya setiap pemimpin lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan yang mampu menyentuh sentiviti kaum di Malaysia.

Beliau berkata, kenyataan seperti mahu mengangkat Kampung Baru Cina sebagai tapak warisan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO) dan Bak Kut Teh sebagai makanan warisan tidak akan mengukuh integrasi kaum sebaliknya boleh menimbulkan polemik yang berpanjangan.

“Maka tanggungjawab yang besar perlu digalas oleh pemimpin supaya lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan khususnya dalam menghormati penduduk asal yang merupakan majoriti di negara ini.

“Amat menyedihkan selepas hampir 70 tahun negara mencapai kemerdekaan masih ramai yang tidak mampu menguasai bahasa Melayu dengan baik lagi betul,” katanya ketika perbahasan menjunjung kasih Titah Diraja, di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bera itu turut melahirkan perasaan terkilan apabila Malaysia masih gagal dalam memupuk perpaduan dalam membentuk sebuah negara bangsa yang sebenar-benarnya.

Tambah beliau, integrasi kaum hanya pada lapisan formal, tidak menjalar sehingga ke akar umbi.

“Oleh itu, saya menjunjung dan menyokong saranan Yang di-Pertuan Agong supaya jurang defisit sosial perlu dirapatkan segera,” kata Ismail Sabri.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button