BERITA SEMASA

Program Siswa Sulung 2.0 turut bantu mahasiswa golongan M40 – Zambry

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Program Siswa Sulung 2.0 di institusi pendidikan tinggi (IPT) tidak hanya terhad kepada mahasiswa daripada keluarga B40 semata-mata.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, program itu turut menyediakan manfaat kepada mahasiswa daripada golongan M40 yang berdepan masalah kewangan termasuklah disebabkan faktor bilangan isi rumah yang besar.

Setakat ini, jelasnya, 1,934 pelajar dalam kategori berkenaan sudah menerima manfaat daripada bantuan disalurkan KPT melalui program terbabit.

“Bagi sesi kali ini, KPT sudah membantu lebih 300 mahasiswa, bukan semata-mata daripada B40, tetapi termasuk mereka yang mempunyai masalah dari segi kedudukan kewangan untuk masuk (mendaftar pengajian) dan berbelanja.

“Justeru, kita beri bantuan bernilai RM1,000 untuk perbelanjaan mereka, sekurang-kurangnya sebelum mendapat bantuan PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) sepenuhnya,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Zambry berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan S. Kesavan (PH-Sungai Siput) mengenai syor memperluas pengecualian yuran kepada kategori M40 yang juga terkesan dengan lonjakan kos sara hidup.

Program Siswa Sulung 2.0 adalah pengecualian yuran pengajian diberikan kepada individu pertama dalam keluarga B40 atau kurang berkemampuan yang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah pertama di Universiti Awam (UA).

Mengenai syor memperluas pelaksanaan kepada program sarjana dan doktor falsafah (PhD), Zambry berkata bantuan pengajian bagi peringkat berkenaan disalurkan menerusi program berasingan dikenali sebagai MyBrain 2.0.

Sementara itu, Zambry berkata, mulai Januari lalu, semua universiti awam (UA) sudah diarah mengehadkan yuran pendaftaran pelajar kepada sekitar RM1,500, selaras pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) PTPTN.

Beliau berkata, UA juga tidak dibenarkan menghalang mana-mana pendaftaran pelajar dalam kalangan B40 serta yang tidak mampu membayar yuran kemasukan pengajian, selain KPT sedang memantau kes sedemikian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button