BERITA SEMASA

KPT tidak kompromi IPTA, IPTS terlibat penjualan sijil akademik

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana Institusi Pendidikan Tinggi Awam atau Swasta (IPTA/IPTS) mahupun individu yang didapati terlibat dengan penjualan sijil akademik seperti dilaporkan dalam media, semalam.

Menurut KPT dalam satu kenyataan hari ini, pihaknya akan terus komited untuk memastikan sistem pendidikan tinggi tidak tercemar dan menyalahi undang-undang.

“KPT memandang serius dakwaan berhubung penjualan sijil akademik daripada peringkat sekolah hingga pengajian tinggi seperti yang diterbitkan oleh sebuah akhbar tempatan, semalam.

“Di peringkat kementerian, terdapat pemantauan dan kawal selia yang dijalankan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) melalui pemeriksaan ke atas IPTS selaras dengan Akta Institusi Pendidikan Swasta 1996 (Akta 555) berkaitan pengeluaran sijil palsu,” katanya dalam kenyataan tersebut, hari ini.

Selain itu, KPT turut mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dilaksanakan untuk memastikan kesahihan sijil akademik bagi tujuan pengesahan.

Berikutan itu,bagi memastikan sindiket penipuan sebegini dapat dikekang, KPT akan turut membuat laporan polis.

Kenyataan tersebut seterusnya memberitahu, ini bukan kali pertama kes sedemikian terjadi, namun berjaya dirungkai melalui aduan awam.

Kata KPT, kes yang lalu itu melibatkan sindiket penipuan yang memperdaya mangsa dengan menggunakan nama IPT terlibat.

Tambahnya, orang ramai yang ingin menyemak kelayakan dan maklumat berkenaan penerima Ijazah Kehormat dan Ijazah Kedoktoran boleh melakukannya di portal GREaT KPT.

“Orang ramai juga dinasihati supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan helah sindiket penipuan dan penjualan sijil akademik ini,” kata kenyataan itu lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button