Tidak wajar politikkan kemasukan pelajar ke IPTA
TANJUNG MALIM – Kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tidak wajar dipolitikkan hingga menjejaskan peluang pendidikan mereka.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, perkara berkaitan peluang pendidikan tidak sepatutnya dipergunakan sebagai modal politik kerana ia berisiko menjejaskan masa depan pelajar yang benar-benar layak.
“Saya ingin menegaskan soal pendidikan ini janganlah kita politikkan keterlaluan sehingga asas sebenar memberi ruang yang sebaik-baiknya kepada seluruh anak-anak (pelajar) tidak diberi perhatian sewajarnya,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Majlis Pelancaran Anugerah Pendidik Global (GEA), di sini hari ini.
Beliau menegaskan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa memastikan proses pemilihan dilakukan dengan adil menerusi sistem merit di peringkat Unit Pusat Universiti (UPU).
Tambah beliau, pemilihan berdasarkan merit itu tidak perlu lagi dipertikaikan kerana sudah terbukti berkesan sejak sekian lama dalam menyaring kemasukan pelajar ke jurusan kritikal seperti kedoktoran, perakaunan dan kejuruteraan komputer.
“Sekiranya ada masalah mengapa pelajar ini tidak dapat masuk disebabkan keputusan baik, boleh dirujuk kepada pihak UPU.
“Di pihak UPU sentiasa terbuka untuk memaklumkan kepada ibu bapa supaya mereka lebih memahami mengenai kemasukan pelajar ke IPTA dengan lebih jelas,” katanya lagi.
Selain IPTA, Zambry turut mengingatkan bahawa peluang pendidikan kini lebih luas menerusi program berkemahiran tinggi seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di politeknik seluruh negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








