Pelajar rugi RM187,800 diperdaya sindiket ‘phone scam’ Touch ‘n Go
KUALA TERENGGANU – Seorang pelajar universiti awam di sini kerugian RM187,800 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan ‘phone scam’ yang menyamar sebagai wakil Touch ‘n Go, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, kejadian bermula pada 4 Ogos lalu apabila mangsa berusia 26 tahun menerima panggilan mendakwa beliau menyalah guna aplikasi tersebut dan terbabit dalam penggubahan wang haram serta pengedaran dadah.
“Suspek mengarahkan mangsa membuat pindahan wang bagi tujuan siasatan dan membersihkan nama.
“Panik dan takut, mangsa membuat lapan transaksi ke enam akaun berbeza antara 4 hingga 9 Ogos, menggunakan wang simpanan sendiri serta akaun ibu bapa tanpa pengetahuan mereka.
“Mangsa turut menyerahkan tiga utas gelang tangan, lima bentuk cincin dan loket milik sendiri dan ibunya kepada seorang wanita di tepi jalan Pantai Penarik, Setiu pada 9 Ogos,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Azli, mangsa hanya menyedari ditipu selepas membuat laporan polis pada pukul 9.43 malam tadi. Bagaimanapun, mangsa gagal mengecam suspek wanita kerana memakai pelitup muka.
Beliau mengingatkan orang ramai agar tidak mudah percaya panggilan telefon mencurigakan, sebaliknya membuat semakan nombor telefon atau akaun bank melalui aplikasi Semak Mule atau menghubungi Talian Nasional Scam Response Centre (NSRC) 997 sebelum membuat sebarang transaksi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








