
UiTM diiktiraf MQA sebagai Pusat Verifikasi Kualiti
KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi MARA (UiTM) melakar sejarah apabila menerima pengiktirafan kelulusan penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sebagai Pusat Verifikasi Kualiti (QVC) bagi program micro-credentials.
Pengiktirafan yang diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penilaian Pembelajaran Sepanjang Hayat MQA pada 3 Julai lalu itu mengiktiraf keupayaan UiTM memastikan penawaran pembelajaran fleksibel memenuhi piawaian kualiti yang ditetapkan.
Menerusi pengiktirafan tersebut, pengurusan QVC UiTM akan diselaraskan dan diterajui Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA), yang bertanggungjawab terhadap pengurusan jaminan kualiti akademik universiti.
Di bawah tadbir urus InQKA, UiTM diberi mandat untuk melaksanakan penilaian verifikasi kualiti bagi Stand-alone Micro-credentials (SAMC) bermula daripada tahap Sijil (Tahap 3) hingga Ijazah Kedoktoran (Tahap 8) dalam Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).
Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin berkata, pengiktirafan yang diberikan MQA membuktikan keyakinan terhadap kualiti serta tadbir urus akademik universiti itu.
“Pengiktirafan daripada MQA ini bukan sahaja satu penghormatan besar, malah bukti kepercayaan terhadap kualiti dan tadbir urus akademik UiTM.
“Ia sejajar dengan visi UiTM 2030 untuk meletakkan universiti ini di persada global melalui penawaran pendidikan yang anjal, relevan dengan industri serta inklusif untuk semua lapisan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pengiktirafan sebagai QVC turut mencerminkan komitmen berterusan UiTM dalam merealisasikan aspirasi Pelan Strategik UiTM 2030 (2026-2030), khususnya bagi memacu kecemerlangan akademik dan memperkasakan pembelajaran sepanjang hayat.
Pengiktirafan itu juga membolehkan UiTM memainkan peranan lebih signifikan dalam memastikan penawaran kursus pendek atau micro-credentials di Malaysia memenuhi piawaian kualiti yang ditetapkan.
Selain itu, ia dijangka memudahkan pengiktirafan kemahiran yang diperlukan pada masa hadapan, sekali gus menyokong usaha meningkatkan kemahiran (upskilling) dan melatih semula kemahiran (reskilling) tenaga kerja tempatan serta antarabangsa.
Pendekatan tersebut membuka peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan pendidikan secara lebih fleksibel merangkumi pelbagai peringkat, daripada Sijil hingga Kedoktoran.
UiTM berkata, pencapaian itu turut mengukuhkan peranannya sebagai pemangkin transformasi pendidikan negara dalam melahirkan modal insan yang berilmu, berdaya saing dan berakhlak mulia.
Ketika ini, UiTM mempunyai 34 kampus, 24 fakulti dan sembilan pusat akademik di seluruh negara serta menawarkan lebih 500 program akademik meliputi peringkat Asasi, Pra Diploma, Diploma, Sarjana Muda, Sarjana, PhD dan program profesional.
Dalam QS World University Rankings 2026, UiTM berada di kedudukan ke-542 dunia, manakala dalam QS Asia University Rankings 2025, universiti itu menduduki tangga ke-101 di Asia.
UiTM juga mempunyai lebih 700,000 alumni dalam bidang sains, teknologi, kemanusiaan dan keusahawanan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








