BERITA SEMASA

KPKT meterai MoU bersama 3 universiti

BUKIT TINGGI – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (I-KPKT) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu yang mana KPKT diwakili oleh Ketua Setiausaha, Datuk Wira M Noor Azman Taib.

Pihak universiti pula diwakili oleh Naib Canselor UUM, Professor Datuk Dr. Mohd Fo’ad Sakdan; Timbalan Naib Canselor UiTM, Prof. TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah dan Timbalan Rektor Penyelidikan, Inovasi dan Pembangunan UIAM, Prof. Dr. Mohamed Aslam Mohamed Haneef.

Menurut KPKT, MoU itu sebagai usaha memperkukuh sektor perumahan dan kerajaan tempatan bersama agensi pendidikan di negara kita.

“Ia bertujuan memacu kemajuan I-KPKT sebagai sebuah institut latihan di bawah KPKT yang memainkan peranan penting dalam menyediakan latihan kepada pegawai dan kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi-agensi berkaitan di seluruh negara.

Selain itu, katanya, pemeteraian MoU itu adalah bertujuan menggalakkan dan mempromosikan kerjasama KPKT melalui I-KPKT dengan UUM, UiTM dan UIAM.

Katanya, ia melibatkan bidang mobiliti pelajar bagi tujuan latihan industri dan penganjuran program pertukaran staf bagi tujuan penglibatan dalam penganjuran program selain pelantikan pensyarah pelawat bagi perkongsian kepakaran, pengetahuan atau pengalaman dalam bidang berkaitan serta penglibatan dalam lembaga penasihat I-KPKT.

Pada masa sama, ia turut melibatkan penglibatan bersama bagi program-program pengajian jangka pendek atau jangka panjang ke arah Pakar Bidang Khusus serta Pembangunan Profesionalisme Berterusan.

Dalam pada itu, MoU itu turut melibatkan penyelidikan dan penerbitan bersama; penganjuran bersama persidangan, seminar dan program khidmat komuniti; pembangunan modul latihan dan penawaran program latihan atau kursus bidang berkaitan bagi pelaksanaan di peringkat pusat pengajian I-KPKT dan mengadakan kerjasama lain berkaitan kerajaan tempatan.

“Kerjasama di antara KPKT dengan UUM, UiTM dan UIAM ini merupakan salah satu inisiatif ke arah mencapai status Centre of Excellence (CoE).

“Ia adalah satu pengiktirafan yang mencerminkan kecemerlangan dalam penyelidikan, inovasi dan pengajaran serta menjadikan I-KPKT sebagai pusat pengumpulan maklumat, Pusat Rujukan (referral center) serta memberi khidmat nasihat kepada PBT,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button