Urbanisasi perlu pacu peluang, bukan punca perpecahan – Fadillah
KUALA LUMPUR – Proses urbanisasi di ASEAN perlu menjadi pemacu peluang dan kemajuan, bukannya punca perpecahan masyarakat, tegas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata, walaupun pembangunan pesat dapat dilihat di bandar-bandar utama, kemakmuran sebenar di rantau ini masih belum dirasai sepenuhnya oleh semua lapisan masyarakat.
“Kita mempunyai banyak bangunan pencakar langit, namun bayang-bayangnya menutupi penempatan setinggan. Infrastruktur pula sudah melampaui kapasiti,” katanya ketika merasmikan Forum Kelestarian Urbanisasi ASEAN (ASUF), Forum Gabenor dan Datuk Bandar ASEAN (AGMF) serta Mesyuarat Gabenor dan Datuk Bandar ASEAN (MGMAC) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Menurutnya, ASEAN perlu menumpukan usaha bukan sahaja kepada peluasan akses pendidikan, penjagaan kesihatan dan peluang pekerjaan, malah menangani krisis perumahan, mobiliti dan ketahanan terhadap perubahan iklim.

“Banjir berulang, jerebu dan jalan yang tenggelam bukan sekadar amaran, tetapi seruan untuk bertindak. Tindakan itu mesti bermula sekarang,” ujarnya lagi.
Fadillah berkata, ASEAN kini menjadi rumah kepada 700 juta penduduk, dengan lebih 370 juta tinggal di kawasan bandar jumlah yang melebihi keseluruhan populasi Amerika Syarikat. Menjelang 2050, tujuh daripada setiap 10 rakyat ASEAN dijangka menetap di bandar.
Katanya, pusat bandar merupakan tulang belakang ekonomi rantau ini, menyumbang 70 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN dan memacu ekonomi bernilai AS$3.8 trillion (RM15.8 trilion) setakat 2024.
“Dari syarikat pemula teknologi yang pesat berkembang di Jakarta hinggalah kepimpinan Singapura dalam bidang kewangan, bandar-bandar ini adalah enjin pertumbuhan ASEAN,” jelasnya lagi.
Beliau menambah, platform mesyuarat ASEAN perlu dimanfaatkan sebagai medan perkongsian idea, penggubalan dasar dan mewujudkan legasi komuniti yang makmur serta lestari untuk generasi akan datang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








