JENAYAH & MAHKAMAH

Bekas eksekutif TNB tidak mengaku salah guna kedudukan dapatkan suapan RM2.62 juta

PUTRAJAYA – Seorang bekas Eksekutif Teknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.62 juta bagi sebuah syarikat.

Tertuduh, Mohd Rizal Mohd Yusof, 52, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai Eksekutif Teknik di Unit Mobility Solution TNB dan ahli Jawatankuasa Penilaian Teknikal Tender didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi syarikat Sunpower Resources (M) Sdn. Bhd. berkaitan kontrak bernilai RM2,628,080.

Kontrak itu membabitkan kerja-kerja pengumpulan, pengesahan dan pengemaskinian pengurusan data linear aset bagi Zon Timur.

Tertuduh didakwa mengambil bahagian dalam mesyuarat Jawatankuasa Penilaian Teknikal Tender berhubung kontrak berkenaan walaupun mempunyai kepentingan di dalamnya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 1 Oktober 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan syarat perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan, menyerahkan pasport dalam tempoh seminggu selepas 30 November 2026 serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Pendakwaan dijalankan oleh Muhammad Arif Asyraf Mohd Khairi, manakala tertuduh diwakili peguam Khairul Amin Abdullah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button