Remaja tikam rakan sekolah dihantar ke Hospital Bahagia
KUALA LANGAT – Remaja perempuan berusia 15 tahun yang terlibat dalam insiden tikaman di sebuah sekolah menengah di Banting, Isnin lalu dikenakan pertuduhan cuba membunuh di Mahkamah Majistret Telok Datok, di sini hari ini.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh juvana itu selepas pertuduhan ke atasnya dibaca di hadapan Majistret, Maslinda Selamat.
Mahkamah kemudian turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya remaja itu menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Mengikut pertuduhan, pelajar Tingkatan Tiga itu didakwa cuba membunuh pelajar perempuan berusia 15 tahun dengan menggunakan pisau sehingga menyebabkan kecederaan serta mempunyai niat untuk menyebabkan kematian.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekolah berkenaan pukul 9.50 pagi pada 6 Julai lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Syafiq Yazid.
Mahkamah menetapkan sebutan semula pada 10 Ogos depan.
Pihak media yang tiba lebih awal, tidak dibenarkan masuk ke mahkamah untuk mengikut prosiding pendakwaan memandangkan kes berkenaan melibatkan tertuduh juvana.
Laporan media sebelum ini menyebut, seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun cedera selepas dipercayai ditikam sebanyak 16 kali menggunakan pisau oleh rakan sekolahnya di kantin sekolah ketika waktu rehat.
Dalam kejadian pukul 9.30 pagi itu, mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk paru-paru dan kini sedang dirawat di hospital.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




