BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Tiada pertuduhan berhubung siasatan kes 1BestariNet

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiada pertuduhan akan dikenakan terhadap mana-mana pihak berhubung pelaksanaan projek 1BestariNet di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Keputusan itu dibuat berdasarkan arahan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) selepas mendapati tiada unsur jenayah dalam pelaksanaan tender projek tersebut.

Menurut SPRM, siasatan yang bermula September lalu dilakukan oleh Bahagian Penyiasatan Tatakelola suruhanjaya itu dengan memberi fokus kepada aspek tadbir urus serta isu tuntutan kewangan berkaitan kontrak antara KPM dan YTL Communications Sdn Bhd.

Susulan itu, TPR mengarahkan SPRM menyerahkan laporan lengkap dapatan siasatan kepada KPM, termasuk cadangan penambahbaikan terhadap pengurusan kontrak projek tersebut.

“Antara syor yang diketengahkan ialah supaya KPM kembali berbincang dengan YTL Communications Sdn Bhd bagi mengenal pasti dan menyelesaikan sebarang isu berbangkit daripada kontrak perkhidmatan yang dipersetujui,” kata kenyataan SPRM semalam.

1BestariNet merupakan projek penyediaan perkhidmatan internet berkelajuan tinggi kepada sekolah-sekolah di seluruh negara, namun pelaksanaannya sebelum ini mengundang kritikan berikutan pelbagai isu teknikal dan tadbir urus.

Dengan laporan siasatan telah diserahkan, SPRM berharap penambahbaikan yang disyorkan dapat dilaksanakan untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan projek pada masa hadapan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button