Guru didakwa lima pertuduhan amang seksual murid, simpan bahan lucah
JOHOR BAHRU – Seorang guru lelaki dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak muridnya serta dua pertuduhan menyimpan bahan lucah.
Tertuduh, Mohamad Amirul Firdaus Awang Meran, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nor Aziati Jaafar, Hakim Madihah Zainol dan Majistret Atifah Hazimah Wahab.
Di Mahkamah Sesyen di hadapan Nor Aziati, tertuduh berdepan tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dengan maksud seksual terhadap seorang murid perempuan berusia 11 tahun yang mempunyai hubungan amanah dengannya sebagai guru.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah kereta Perodua Bezza yang diparkir berhampiran taman permainan di Masai dalam tempoh antara 26 Februari 2024 hingga 18 Ogos 2024, memetik laporan NSTP.
Sementara itu, di hadapan Madihah, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas dua lagi pertuduhan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama ketika kanak-kanak berkenaan berusia 12 tahun pada 16 Mei dan 27 Ogos 2025.
Kesemua pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebat jika sabit kesalahan.
Di Mahkamah Majistret pula, Mohamad Amirul Firdaus mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menyimpan bahan lucah dalam dua telefon bimbit miliknya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di tepi Jalan Seri Wangi 1/1, Taman Perindustrian Plentong, Masai pada pukul 10.30 malam, 21 Mei lalu.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM19,000 bagi semua pertuduhan dengan beberapa syarat tambahan termasuk tidak mengganggu mangsa dan saksi, melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sekiranya memiliki dokumen berkenaan.
Mahkamah menetapkan 13 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan serahan dokumen.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















