BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

SPRM mulakan siasatan tender perolehan RM58.45 juta di UKM

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan berhubung tiga tender perolehan bernilai RM58.45 juta di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagaimana dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 pada Julai lalu.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus berkata, setakat ini lima individu dipanggil bagi membantu siasatan berkaitan unsur rasuah.

“Proses siasatan termasuk penelitian dokumen masih giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

LKAN 2/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 21 Julai lalu mendedahkan tiga daripada tujuh tender UKM berjumlah RM58.45 juta tidak mematuhi prosedur perolehan ditetapkan.

Antara perkara dibangkitkan ialah keputusan Jawatankuasa Perolehan Tender UKM yang memilih syarikat tidak disyorkan oleh Jawatankuasa Penilaian Teknikal, Penilaian Kewangan dan Pra-Tender.

Laporan itu juga menegur UKM kerana tidak melantik wakil Kementerian Kewangan (MoF) sebagai ahli Jawatankuasa Perolehan manakala wakil Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang dilantik pula tidak hadir dalam mesyuarat berkaitan tiga tender berkenaan.

Zainul berkata, selain siasatan jenayah rasuah, SPRM turut membuka kertas penyiasatan tatakelola bagi menilai aspek pengurusan serta pematuhan tatacara perolehan.

Isu itu turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, dalam titah baginda pada Majlis Pengisytiharan Pembukaan Konvokesyen ke-53 UKM di Bangi, hari ini.

Menurut Zainul, SPRM komited memastikan integriti dan tatakelola negara diperkukuh, bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap sistem perolehan awam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button