POLITIK

WAWASAN ‘jambatan’ bagi PN dekati lebih ramai rakyat

CYBERJAYA – Parti Wawasan Negara (WAWASAN) menganggap penerimaannya ke dalam Perikatan Nasional (PN) sebagai satu ‘jambatan’ yang dapat menghubungkan gabungan itu dengan lebih ramai rakyat.

Presiden WAWASAN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keputusan PN itu turut mencerminkan keyakinan gabungan tersebut terhadap nilai tambah yang mampu dibawa WAWASAN dalam dalam memperjuangkan agenda perubahan yang berteraskan kompetensi, integriti dan kestabilan.

“Kami hadir sebagai jambatan yang menghubungkan lebih ramai rakyat, memperluaskan sokongan serta mengukuhkan lagi kedudukan PN sebagai sebuah gabungan yang inklusif, stabil dan sedia mentadbir.

“Sebagai parti berwajah Malaysia, WAWASAN membawa aspirasi rakyat daripada pelbagai latar belakang dan percaya masa depan negara hanya dapat dibina melalui kerjasama, kesederhanaan serta komitmen terhadap kepentingan nasional,” kata Hamzah dalam satu kenyataan, hari ini.

WAWASAN yang sebelum ini dikenali sebagai Parti Cinta Malaysia (PCM), dijenamakan semula selepas diambil alih oleh Hamzah dan penyokong beliau.

Sebagai rekod, PCM ditubuhkan bekas ahli GERAKAN, Huan Cheng Guan dan bekas ahli PKR, Gabriel Adit Demong, pada 2009.

Komponen lain dalam PN adalah PAS, BERSATU, GERAKAN dan Parti Rakyat India Malaysia dan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button