POLITIK

Lama tidak bermesyuarat punca krisis dalaman PN – Wan Saiful

CYBERJAYA – Kegagalan kepimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) mengadakan mesyuarat bagi membincangkan kemelut dan masalah dalaman gabungan itu didakwa menjadi punca utama tercetusnya gelora politik di Perlis.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN sepatutnya segera memanggil mesyuarat bagi meredakan ketegangan, selain menentukan calon Menteri Besar mewakili gabungan.

Menurut beliau, ketiadaan mesyuarat berkenaan menyebabkan keputusan penting berkaitan kepimpinan negeri gagal diputuskan secara bersama, sekali gus mendorong BERSATU dan PAS mengemukakan nama calon Menteri Besar kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, menerusi surat yang berasingan.

“Dalam situasi krisis, mesyuarat adalah keutamaan. Namun sehingga kini, mesyuarat PN bagi membincangkan kemelut Perlis tidak pernah diadakan,” katanya.

Wan Saiful mendakwa, kegagalan memanggil mesyuarat itu mencerminkan kelemahan serius dalam pengurusan dalaman PN dan memberi kesan besar kepada kestabilan gabungan berkenaan.

“Saya tegaskan apa yang berlaku ini adalah lambang kegagalan Pengerusi PN menjalankan tanggungjawabnya. Tiada musyawarah, tiada keputusan bersama.

“Sehingga hari ini, mesyuarat masih belum dipanggil, seolah-olah isu dalaman ini tidak dianggap penting,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, masalah kelemahan kepimpinan dan kegagalan mengurus konflik dalaman PN bukan perkara baharu.

Menurut beliau, sejak Disember 2024, PAS telah mengemukakan surat kepada Muhyiddin dengan cadangan penambahbaikan termasuk memperkukuh mekanisme perbincangan dan pengurusan krisis dalam PN.

Bagaimanapun, dakwanya, cadangan tersebut tidak dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat rasmi, sekali gus membuktikan kegagalan struktur dalaman gabungan itu berfungsi dengan berkesan.

Dalam perkembangan sama, Wan Saiful menolak cadangan agar PAS meninggalkan PN, sebaliknya menegaskan kepimpinan gabungan perlu diperbetulkan dari dalam.

“Adalah tidak wajar bercakap soal penyatuan ummah tetapi pada masa sama gagal bermesyuarat dan bermusyawarah menyelesaikan masalah dalaman.

“Langkah lebih berkesan ialah melakukan perubahan kepimpinan dalam PN dan memastikan budaya mesyuarat serta musyawarah benar-benar diamalkan,” katanya.

Beliau menambah, cadangan supaya PAS mengambil alih jawatan Pengerusi PN telah lama dibangkitkan, namun tidak pernah dibincangkan secara serius dalam mesyuarat kerana mesyuarat itu sendiri tidak diadakan.

“Mungkin krisis Perlis dapat dielakkan sekiranya mesyuarat diadakan lebih awal dan keputusan dibuat secara kolektif, bukan melalui arahan sebelah pihak,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button