POLITIK

Muhyiddin berjiwa besar – Afnan Hamimi

CYBERJAYA – Peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) merupakan satu tindakan yang berjiwa besar dan sangat dihormati.

Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, segala jasa dan khidmat bakti bekas Perdana Menteri itu selama memimpin PN dan Malaysia sebelum ini tetap akan dikenang dan diingati.

“Menyelamatkan negara dari wabak Covid-19 dan memulihkannya semula sehingga kita kembali hidup seperti sedia kala hari ini. Itu jasa yang amat besar kepada kita semua. Sejarah itu tidak boleh diubah.

“Segala pandangan yang pernah saya ungkapkan sebelum ini, sedikit pun tidak mengurangkan rasa hormat dan sanjung saya kepada Tan Sri, lebih-lebih lagi Tan Sri sebagai abah, orang yang lebih berusia dan berpengalaman daripada saya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Semalam, Afnan Hamimi yang juga Ahli Parlimen Alor Setar beranggapan PAS layak mengambil alih dan mengetuai PN, selepas isu yang berlaku di Perlis.

Beliau turut mencadangkan supaya Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Pengerusi PN.

Ini kerana katanya, rakan PAS iaitu BERSATU gagal mengawal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka menandatangani akuan bersumpah (SD) menolak Menteri Besar Perlis terdahulu, Mohd Shukri Ramli.

Mengulas lanjut, Afnan Hamimi juga memohon maaf kepada Muhyiddin disebabkan kata-kata yang dikeluarkannya sebelum ini menyebabkan Ahli Parlimen Pagoh itu tidak senang atau tersinggung.

“Tiada langsung isu peribadi, melainkan hanya menyuarakan ketegasan untuk kebaikan kita bersama di dalam sebuah kapal.

“Walau nakhoda kapal berganti, kapal ini mesti terus belayar menempuh ombak dan badai, hingga sampai ke destinasi. Mewakili seluruh jentera Pemuda PN dan Pemuda PAS, kami ucapkan terima kasih Tan Sri. Jasamu kami kenang sampai akhir hayat,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button