POLITIK

Pertembungan dua penjuru beri lebih kelebihan kepada PN – Noh Omar

KUALA SELANGOR – Strategi pertembungan dua penjuru di Selangor dijangka memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN) untuk mengalahkan calon Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Bagaimanapun, bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, kemenangan di kerusi ‘satu lawan satu’ itu masih bergantung kepada peratusan pengundi Melayu yang keluar mengundi, selain sokongan daripada pengundi bukan Melayu, lapor Sinar Harian.

Dan jika keadaan itu berlaku, bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu berpandangan, sekurang-kurangnya 33 daripada 56 kerusi di Selangor yang lebih 60 peratus pengundi Melayu, mampu dimenangi oleh PN.

“Sebab di seluruh Selangor ini kita ada 33 kerusi, yang pengundian Melayu lebih 60 peratus.

“Ini adalah target (sasaran) kita. Sebab itu saya ambil contoh, macam dekat PDM (pusat daerah mengundi), kalau PDM itu kalau ada pengundi bukan Melayu, dia 40 peratus, tentu kalah.

“Sebab pengundi Melayu 60 peratus, pecah tiga (saingan tiga penjuru). Sebab itu dia (saingan kerusi) tak boleh pecah tiga, tetapi kena pecah dua (baru) kita (PN) boleh menang,” katanya kepada pemberita selepas Ceramah Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang di Sungai Gulang-Gulang, di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Noh berkata, walaupun telah dipecat daripada UMNO, teori saingan dua penjuru yang diperjuangkan beliau sejak menjadi Pengerusi UMNO Selangor diteruskan melalui platform PN dalam usaha mengalahkan PH.

Selain itu, beliau berkata, manifesto PN Selangor iaitu ‘Selangor Baharu Kita Bangkit’ disifatkan sebagai menyeluruh kerana merangkumi kebajikan penduduk di luar dan separa bandar, yang pernah diperjuangkannya sebelum ini.

“Di Selangor, mesti ada manifesto untuk bandar, separa dan luar bandar. Saya masyarakat luar bandar (Tanjong Karang), terima kasih (kerana tawar pemansuhan) parkir.

“Dari dulu saya memang tak bersetuju (kena ada bayaran) parkir di kampung dan luar bandar di Tanjong Karang. Kenapa buat (bayaran) parkir, ini luar bandar,” katanya lagi.

PRN pada 12 Ogos ini menyaksikan persaingan dua penjuru antara gabungan PH-BN dengan PN di 26 kerusi, diikuti 25 kerusi melibatkan pertandingan tiga penjuru manakala lima kerusi berdepan saingan empat penjuru.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button