JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki dituduh ceroboh, seludup tembakau ke penjara guna dron

MELAKA – Seorang penjual keropok didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan menceroboh secara jenayah dan menyeludup tembakau ke dalam Penjara Sungai Udang menggunakan dron, minggu lalu.

Tertuduh, Mohd Nizam Ab Manaf, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan ke atsanya di hadapan mahkamah.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Nizam didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan niat menyeludup tembakau larangan ke dalam kawasan Penjara Sungai Udang menggunakan dron di bawah kawalannya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di No. 1, Jalan KS 6, Taman Kris Satria, Sungai Udang kira-kira pukul 1.20 pagi, 15 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Nizam didakwa menyeludup tembakau larangan ke dalam Penjara Sungai Udang menggunakan dron di bawah kawalannya di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 58 Akta Penjara 1995 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Aliya Safri, mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan, selain syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Muhammad Izzuddin Ab Malek, yang mewakili tertuduh, memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan Mohd Nizam yang berasal dari Bachok, Kelantan, menanggung isteri dan seorang anak hasil pendapatan menjual keropok sebanyak RM1,700 sebulan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin, tertakluk kepada syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan, dan menetapkan 19 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi pelantikan peguam serta penyerahan dokumen.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button