Malaysia perlu bangunkan keupayaan dron tempur sendiri – Khaled Nordin
KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan keperluan Malaysia membangunkan keupayaan teknologi dron tempur sendiri bagi memperkukuh pertahanan negara.
Menurut beliau, pembangunan keupayaan tersebut penting dalam memastikan negara tidak terus bergantung kepada teknologi luar, sebaliknya mampu membina ekosistem aeroangkasa berteraskan kepakaran tempatan.
Perkara itu dibangkitkan dalam sesi taklimat bersama delegasi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang diketuai Timbalan Naib Canselor, Prof. Ts. Dr. Ali Selamat di Wisma Pertahanan, hari ini.
Pada kunjungan itu, Khaled diberikan taklimat mengenai cadangan pembangunan National Combat Unmanned Aircraft System (UAS).
“Projek ini bertujuan membangunkan dron tempur nasional, di samping memperkukuh ekosistem aeroangkasa negara melalui kepakaran tempatan, teknologi luar dan kerjasama negara sahabat,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau turut berkongsi kesediaan Iran untuk meneroka kerjasama dalam bidang sistem tanpa pemandu, yang boleh dimanfaatkan bagi mempercepatkan pembangunan teknologi strategik negara.
Tambah beliau, usaha itu selari dengan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang memberi penekanan kepada pembangunan penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan, pemindahan teknologi serta pengukuhan keupayaan pertahanan kendiri.
“Malaysia tidak boleh sekadar menjadi pengguna teknologi. Sudah tiba masanya kita membangunkan dan menginovasi keupayaan pertahanan sendiri,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








