Gudang ‘Amazon Rusia’ di Moscow terbakar diserang dron Ukraine
MOSCOW – Sekurang-kurangnya tujuh pekerja terbunuh manakala lebih 50 lagi cedera selepas Ukraine melancarkan serangan dron yang menyasarkan pusat logistik milik Wildberries, syarikat e-dagang terbesar Rusia yang digelar sebagai “Amazon Rusia”, di beberapa wilayah negara itu.
Serangan itu turut mencetuskan kebakaran besar di pusat logistik Wildberries di Elektrostal, kira-kira 58 kilometer di timur Kremlin, dengan kepulan asap hitam tebal menyelubungi kawasan sekitar Moscow sehingga dapat dilihat dari jarak lebih 48 kilometer.
Menurut laporan, dua serangan berasingan dilancarkan ke atas kemudahan Wildberries, termasuk sebuah gudang di Kotovsk, wilayah Tambov, kira-kira 435 kilometer di tenggara Moscow.
Dalam serangan di Tambov, tujuh pekerja syif malam disahkan maut manakala sekurang-kurangnya 25 lagi cedera selepas gudang berkenaan terkena serangan dron.

Di wilayah Moscow pula, lebih dua dozen individu dilaporkan cedera apabila pusat logistik di Elektrostal menjadi sasaran, sekali gus menyebabkan gangguan besar terhadap operasi syarikat e-dagang terbesar Rusia itu.
Selain menyasarkan pusat logistik, dron Ukraine turut menyerang sebuah depoh minyak utama di Noginsk sehingga mencetuskan letupan dan kebakaran besar.
Insiden itu memaksa sebuah hospital bersalin berhampiran dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan pesakit dan kakitangan.
Penganalisis berpandangan serangan terhadap Wildberries merupakan sebahagian daripada strategi Ukraine untuk menjejaskan rangkaian logistik Rusia serta memberi tekanan kepada rakyat negara itu supaya merasai kesan peperangan yang berlarutan sejak lebih empat tahun lalu.
Serangan itu juga dipercayai sebagai tindak balas terhadap serangan berulang Rusia ke atas pusat logistik dan hab pos di Ukraine.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Rusia, Vladimir Putin dilaporkan sedang mempertimbangkan langkah membenarkan banduan termasuk ahli kumpulan jenayah direkrut menyertai angkatan tentera bagi mengatasi krisis kekurangan anggota dalam perang yang masih berterusan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















