Oleh PROF MADYA TS DR EDDY HASRUL HASSAN dan PROF MADYA DR NURULIZA ROSLAN
LAPORAN melibatkan kes serangan menggunakan jarum suntikan ke atas anak seorang bekas menteri baru-baru ini, mencetuskan kebimbangan besar dalam masyarakat.
Media sosial segera dipenuhi dengan pelbagai teori dan khabar angin, terutamanya mengenai risiko jangkitan HIV.
Panik meluas seolah-olah setiap insiden pasti membawa maut, sedangkan hakikat saintifik menunjukkan situasinya jauh lebih kompleks.

Sebelum kita membiarkan ketakutan menguasai, ada baiknya memahami bagaimana HIV sebenarnya berfungsi, bagaimana ia menular dan sejauh mana risikonya dalam kes serangan jarum suntikan.
Dalam hal ini, Islam juga mengingatkan kita supaya tidak cepat panik dengan berita tanpa usul periksa.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat, ayat 6 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (tabayyunlah) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu.”
Ayat ini jelas menegaskan pentingnya menyemak maklumat sebelum membuat kesimpulan yang boleh menimbulkan panik dalam masyarakat.
Sebelum kita membiarkan ketakutan menguasai, ada baiknya memahami bagaimana HIV sebenarnya berfungsi, bagaimana ia menular dan sejauh mana risikonya dalam kes serangan jarum suntikan.
Memahami HIV dan cara penularannya
HIV ialah singkatan kepada Human Immunodeficiency Virus. Ia menyerang sistem imun, khususnya sel darah putih yang penting melawan jangkitan.
Tanpa rawatan, HIV boleh berkembang menjadi AIDS (Acquired Immunodeficiency Syndrome) iaitu tahap di mana sistem imun menjadi terlalu lemah sehingga jangkitan kecil pun boleh membawa maut.
Namun, perlu ditegaskan HIV hanya boleh merebak melalui cecair badan tertentu seperti darah, air mani, cecair faraj, cecair rektum dan susu ibu.

Virus ini tidak menular melalui pelukan, berjabat tangan, berkongsi makanan, tandas awam atau gigitan nyamuk.
Tambahan pula, HIV adalah virus yang lemah di luar tubuh dan cepat kehilangan keupayaan berjangkit apabila terdedah kepada udara.
Hari ini, HIV bukan lagi hukuman mati. Dengan rawatan moden, individu dengan HIV boleh hidup sihat dan panjang usia.
Malah, jika rawatan menurunkan tahap virus sehingga ‘tidak dapat dikesan’, mereka tidak lagi boleh menularkannya kepada orang lain.
Risiko jarum suntikan
Soalan yang paling membimbangkan orang ramai ialah bolehkah serangan jarum suntikan menyebabkan jangkitan HIV?
Secara teori, ya, tetapi syaratnya sangat khusus. Jarum itu mesti mengandungi darah segar daripada individu dengan HIV yang mempunyai jumlah virus tinggi dan jarum perlu menyuntik cecair yang cukup ke dalam badan mangsa.
Di hospital, di mana pendedahan darah pesakit HIV dapat disahkan, risiko purata jangkitan akibat tercucuk jarum hanyalah sekitar 0.3 peratus atau tiga kes dalam seribu.

Risiko lebih tinggi jika luka suntikan dalam, jarum berongga mengandungi darah yang jelas kelihatan atau pesakit mempunyai paras virus yang tinggi.
Dalam insiden di luar fasiliti perubatan, risiko jauh lebih rendah. Ini kerana darah yang telah lama terdedah pada udara biasanya sudah kehilangan keupayaan untuk menularkan HIV.
Walaupun mangsa tetap perlu mendapatkan rawatan, kenyataan ini menunjukkan bahawa rasa panik yang berlebihan tidak membantu.
Ujian, rawatan awal dan dokongan
Selepas pendedahan, HIV tidak dapat dikesan serta-merta kerana adanya tempoh tetingkap.
Kebanyakan ujian makmal boleh mengesan jangkitan dalam tiga hingga enam minggu, manakala ujian pantas mungkin memerlukan hingga tiga bulan.
Oleh itu, doktor akan mengulangi ujian beberapa kali termasuk untuk virus lain seperti hepatitis B dan C yang lebih tahan di luar badan.
Sekiranya risiko wujud, rawatan pencegahan awal yang dikenali sebagai Post-Exposure Prophylaxis (PEP) boleh dimulakan.
Ubat ini perlu diambil dalam tempoh 72 jam selepas insiden dan diteruskan selama 28 hari.
PEP terbukti sangat berkesan dalam mengurangkan risiko jangkitan, tetapi ia mesti dimulakan segera di bawah pemantauan doktor.
Selain rawatan, sokongan psikologi juga penting. Serangan jarum bukan sahaja mendatangkan kecederaan fizikal, tetapi juga meninggalkan trauma emosi.
Rasa takut yang tidak terkawal boleh memberi kesan lebih buruk daripada risiko perubatan itu sendiri.
Realitinya, ketakutan terhadap HIV lebih banyak berpunca daripada stigma dan salah faham.
Ramai masih menganggap HIV sebagai penyakit ‘pengakhiran kehidupan’, walhal ia kini boleh dikawal dengan baik.
Serangan jarum suntikan sememangnya perbuatan jenayah yang menakutkan, tetapi risiko jangkitan HIV daripadanya selalunya rendah.
Masyarakat perlu lebih rasional dengan cara berhenti menyebarkan maklumat tidak sahih yang menambah panik dan sebaliknya menekankan kepentingan fakta serta empati terhadap mangsa.
Dengan tindakan bijak, kita bukan sahaja melindungi kesihatan awam, tetapi juga mengekang stigma yang tidak perlu.
Dalam menghadapi isu kesihatan awam, fakta adalah pelindung terbaik manakala ketakutan tanpa ilmu hanyalah musuh.
HIV boleh dikawal, rawatan moden sangat berkesan dan risiko daripada serangan jarum rawak biasanya rendah.
Apa yang lebih penting ialah pemeriksaan perubatan, rawatan awal jika perlu dan sokongan berterusan.
Masyarakat harus belajar bahawa pengetahuan adalah vaksin terbaik terhadap rasa takut.
Dengan memahami sains, kita boleh menghadapi cabaran kesihatan dengan lebih berani dan penuh empati bukan dengan panik.
* Penulis merupakan Pensyarah Kanan dan Penyelidik Virologi & Immunologi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Pensyarah Kanan dan Penyelidik Biologi Sel, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








