14 maut dalam serangan udara terbaharu AS ke atas Iran
TEHRAN – Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh, manakala 78 lagi cedera dalam siri serangan udara terbaharu Amerika Syarikat (AS) ke atas beberapa wilayah di Iran, sekali gus mencetuskan kebimbangan konflik antara kedua-dua negara bakal terus memuncak.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Iran berkata, serangan yang dilancarkan dalam tempoh dua hari itu meragut 14 nyawa di lima wilayah, manakala 47 daripada mangsa yang cedera masih menerima rawatan di hospital.
Menurut laporan, tentera AS melancarkan serangan ke atas kira-kira 170 sasaran ketenteraan dalam tempoh 48 jam, termasuk sistem pertahanan udara, kemudahan penyimpanan peluru berpandu dan dron, aset pemantauan pantai serta pusat logistik di sepanjang pesisir Iran.
Washington memaklumkan operasi berkenaan bertujuan melumpuhkan keupayaan Tehran melancarkan serangan terhadap kapal dagang yang melalui Selat Hormuz susulan beberapa insiden yang didakwa berpunca daripada tindakan Iran.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah beberapa pangkalan tentera AS di Kuwait, Bahrain dan Qatar. Bagaimanapun, pegawai pertahanan AS berkata kebanyakan serangan berjaya dipintas dan tidak mengakibatkan sebarang korban dalam kalangan anggota tenteranya.
Presiden AS, Donald Trump berkata, gencatan senjata antara kedua-dua negara kini tidak lagi berkuat kuasa, namun menegaskan usaha diplomatik bagi meredakan ketegangan masih diteruskan.
Perkembangan terbaharu itu turut meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan pelayaran di Selat Hormuz, laluan strategik perdagangan minyak dunia, selain mencetuskan kebimbangan konflik lebih luas di Asia Barat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















