BERITA SEMASA

19 kawasan termasuk Nilai dan Seremban catat IPU tidak sihat

KUALA LUMPUR – Sebanyak 19 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 8 pagi, hari ini.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), tiga kawasan di Sarawak merekodkan bacaan tinggi dengan Serian mencatatkan IPU 168, diikuti Samarahan (167) dan Kuching (108).

Di Negeri Sembilan, Nilai mencatatkan bacaan 162 manakala Seremban merekodkan 159.

Situasi sama turut berlaku di Selangor dengan Johan Setia merekodkan bacaan IPU 160, Shah Alam (159), Klang (152), Banting (150) dan Petaling Jaya (122).

Di Kuala Lumpur pula, Batu Muda menjadi satu-satunya kawasan yang merekodkan bacaan tidak sihat iaitu 152, manakala Putrajaya mencatatkan bacaan 160.

Di Johor, Tangkak merekodkan bacaan 153 dan Segamat (103), sementara Melaka membabitkan Bukit Rambai dengan bacaan 151 serta Alor Gajah (144).

Perak pula merekodkan satu kawasan pada tahap tidak sihat iaitu Taiping dengan bacaan IPU 116.

Sementara itu, hanya dua kawasan merekodkan bacaan IPU pada tahap baik iaitu Kangar, Perlis dan Langkawi, Kedah.

Sebanyak 47 kawasan lain di seluruh negara pula mencatatkan bacaan pada tahap sederhana, termasuk beberapa lokasi di Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Bacaan IPU antara sifar hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 berada pada tahap berbahaya.

Data IPU dikeluarkan setiap jam berdasarkan bacaan daripada 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini berkaitan kualiti udara menerusi saluran rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS) atau aplikasi MyJAS EQMS.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button