BERITA SEMASA

800 peserta meriahkan Perarakan Maulidur Rasul Surau Jumaat Ibrahimiah, zahir cinta kepada Nabi SAW

KUALA LUMPUR – Kira-kira 800 peserta menyemarakkan Sambutan Maulidur Rasul peringkat kariah Surau Jumaat Ibrahimiah menerusi perarakan selawat di sekitar Kampung Batu Muda dan Kampung Seri Batu, di sini baru-baru ini.

Program yang berlangsung selama dua hari pada 24 dan 25 Ogos itu dianjurkan Surau Jumaat Ibrahimiah dengan kerjasama Sekolah Rendah Islam Cahaya Umi (SRICU), Persatuan Penduduk Kampung Batu Muda, Persatuan Penduduk Kampung Seri Batu dan KRT Kampung Batu Muda.

maulid
Perarakan daripada anak-anak pelajar Sekolah Rendah Islam Cahaya Umi.

Penganjur berkata, sambutan berkenaan bukan sekadar tradisi tahunan, sebaliknya menjadi wadah untuk menyemarakkan kecintaan terhadap Rasulullah SAW serta menghayati sirah dan akhlak Baginda dalam kehidupan seharian.

“Penganjuran majlis ini bukan sekadar sebuah tradisi sambutan tahunan, malah ia merupakan wadah tarbiah bagi menghayati sirah Baginda SAW demi membina peribadi Mukmin yang berakhlak mulia.

“Pada masa sama, program ini turut menjadi medium memperkukuhkan ikatan silaturahim dan ukhuwah Islamiah dalam kalangan penduduk Kampung Batu Muda dan Kampung Seri Batu,” katanya dalam kenyataan.

Sambutan dimulakan pada malam 24 Ogos dengan Majlis Ilmu dan Ceramah Perdana Maulidur Rasul yang disampaikan Ustaz Mohd Zulkifli Makhtar daripada Jabatan Usuluddin Darul Quran, JAKIM.

Ceramah bertajuk ‘Menghayati Sirah Rasulullah SAW dalam Mengisi Erti Kemerdekaan’ itu mengupas kepentingan menjadikan akhlak Rasulullah SAW sebagai pedoman dalam mendaulatkan agama dan negara.

Majlis berkenaan turut dihadiri Pengerusi Masjid Saidina Hamzah, Zulkarnain Umar dan Naqib Masjid Saidina Hamzah, Ustaz Mohd Azrul Mohamad Tahir.

maulid
Perarakan itu menjadi wadah menyemarakkan kecintaan terhadap Rasulullah SAW serta menghayati sirah dan akhlak Baginda dalam kehidupan seharian.

Kemuncak sambutan berlangsung pada pagi 25 Ogos menerusi perarakan semarak selawat yang diketuai Pengerusi Surau Jumaat Ibrahimiah, Dr Hazim Noordin bersama barisan jawatankuasa surau dan wakil persatuan penduduk serta KRT.

Turut menyertai perarakan ialah ahli kariah, Kumpulan Kompang Kampung Batu Muda serta pelajar, guru dan ibu bapa SRICU yang diketuai Guru Besar, Umi Norliza.

Peserta berarak mengelilingi kawasan perkampungan sambil melantunkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW, selain membawa sepanduk dan bunga manggar dalam suasana penuh tertib serta meriah.

Penganjur berkata, penglibatan pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan pelajar, guru, ibu bapa dan penduduk setempat mencerminkan semangat ukhuwah Islamiah yang ingin dipupuk menerusi sambutan berkenaan.

Sambutan Maulidur Rasul itu diharap dapat terus menjadi platform memperkukuh kecintaan masyarakat terhadap Rasulullah SAW serta menghidupkan penghayatan sirah dan sunnah Baginda dalam kehidupan bermasyarakat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button