AGAMABERITA SEMASA

TPM seru umat Islam terus hayati sunnah Rasulullah, perkukuh kasih sayang sesama rakyat

KUALA LUMPUR – Umat Islam di negara ini diajak untuk sentiasa mengamalkan sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan harian, di samping mempererat kasih sayang antara sesama insan bagi memastikan Malaysia kekal cemerlang di persada dunia,

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sambutan Maulidur Rasul yang membawa tema “Membangun Ummah MADANI” tahun ini mengajak umat Islam untuk terus memperkukuh keimanan serta menguatkan perpaduan yang menjadi asas kepada bangsa bermaruah, masyarakat berakhlak dan negara yang diberkati.

“Alhamdulillah, sambutan Maulidur Rasul tahun ini hadir seiring dengan Bulan Kemerdekaan Negara ke-68 dan Hari Malaysia.

“Nilai perjuangan Baginda SAW yang penuh tekad, penuh kesabaran dan penuh kasih sayang seharusnya menjadi panduan dalam membina Malaysia yang bersatu padu, aman dan makmur,” katanya menerusi perkongsian di laman Facebook.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadilah Yusof pula mengingatkan, tarikh 12 Rabiulawal yang diraikan setiap tahun, satu peristiwa penuh pengajaran dan panduan hidup.

Katanya, ia kerana peristiwa berkenaan mengingatkan masyarakat bahawa Rasulullah SAW membina tamadun berasaskan akhlak serta menegakkan amanah dalam setiap urusan.

“Rasulullah SAW membina tamadun dengan asas akhlak, menegakkan amanah dalam urusan dan memastikan setiap dasar berlandaskan rahmah. Sunnahnya tidak terbatas pada ibadah ritual semata-mata, tetapi juga merangkumi cara memimpin, mengurus masyarakat majmuk dan menegakkan keadilan tanpa mengira darjat.

“Hanya dengan meneladani akhlak yang baik dan mengamalkan tatakelola yang telus lah yang mampu kita lakukan untuk menterjemah keunggulan Nabi Muhammad SAW,” kongsinya di Facebook.

Dalam hantaran lain, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam hantarannya, mengajak masyarakat menyumbang dalam meneladani akhlak Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian.

Beliau berkata, ia termasuk membabitkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan yang mempromosikan perpaduan dan menyebarkan ilmu dan nilai-nilai Islam yang rahmatan lil ‘alamin di samping dunia yang menghadapi cabaran ekonomi, sosial, dan akhlak, nilai-nilai perubahan.

“Maulidur Rasul mengingatkan kita tentang misi Nabi Muhammad SAW sebagai pembawa rahmat untuk seluruh alam. Membangun Ummah MADANI mengajak kita untuk meneruskan legasi ini dengan membina masyarakat yang progresif, adil, dan berakhlak mulia,” katanya.

Selain itu, beberapa menteri turut mengucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul termasuk Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

“Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, moga kita semua mencontohi akhlak mulia Baginda. Salam Maulidur Rasul,” katanya.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir juga mengingatkan supaya menjadikan menjadikan Baginda contoh utama dalam kepimpinan dan membina masyarakat yang berteraskan rahmah dan ihsan.

“Hari kelahiran Nabi Muhammad SAW bukan sekadar sejarah, tetapi sebagai rahmatan lil ‘alamin yang memberi rahmat seluruh alam.
Baginda diutus untuk menyempurnakan akhlak, mengasihi yang lemah, menghormati yang tua, menegakkan keadilan dan menanam cinta kepada ilmu.

“Semoga kita menjadi insan yang sentiasa bersyukur atas segala nikmat yang diberikan serta termasuk dalam golongan yang mendapat syafaat Rasulullah SAW di akhirat kelak,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button