Tunku Besar Tampin santuni 50 asnaf sempena Maulidur Rasul
TAMPIN – Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri berkenan menyampaikan sumbangan bakul makanan dan wang tunai kepada 50 penerima dalam kalangan asnaf di daerah ini sempena sambutan Maulidur Rasul.
Program bertemakan ‘Bersama Menghidupkan Sunnah, Menyemai Cinta Rasulullah SAW’ itu berlangsung di perkarangan Surau Al-Khusyu’, Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin, sebagai usaha menyemarakkan semangat kebersamaan serta menghayati nilai murni yang dicontohi daripada Rasulullah SAW.
Majlis turut menekankan konsep berkongsi rezeki dan saling membantu, selaras dengan ajaran Rasulullah SAW yang menggalakkan umatnya mengambil berat terhadap golongan memerlukan.
Inisiatif kebajikan itu mendapat sokongan Yayasan VFive Group, selain sumbangan wang tunai oleh Teraju Construction Sdn Bhd dan Asri Ahmad Akademi, sebuah institusi yang memberi tumpuan kepada pendidikan serta ilmu berkaitan pelaburan saham.
Menurut Tunku Syed Razman, sumbangan berkenaan bukan sahaja bertujuan meringankan beban penerima, malah mencerminkan tanggungjawab sosial pihak korporat dan badan kebajikan dalam berkongsi rezeki dengan masyarakat.
“Sumbangan berkenaan bukan sahaja bertujuan meringankan beban penerima, malah menjadi manifestasi tanggungjawab sosial pihak korporat dan badan kebajikan dalam berkongsi rezeki dengan masyarakat, khususnya golongan asnaf yang memerlukan perhatian serta sokongan berterusan,” titahnya.
Turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada penerima ialah Che Puan Isteri, Anis Sobari, yang turut menyerikan program kebajikan bersempena sambutan Maulidur Rasul itu.
Tunku Syed Razman berharap penganjuran program berkenaan dapat menyemai kecintaan terhadap Rasulullah SAW menerusi penghayatan sunnah dalam kehidupan seharian, selain menjadikan sambutan Maulidur Rasul sebagai momentum memperkukuh amalan kebajikan dan kasih sayang sesama insan.
Yayasan VFive Group diwakili Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Bahagian Media, Pengiklanan dan Perkhidmatan, VFive Group Sdn Bhd, Ts Amir Junaidi Amerrudin.
Turut hadir Pengasas dan Pengarah Urusan Teraju Construction Sdn Bhd, Fakhrul Nazhi Hanaffi serta Pengasas Ahmad Asri Akademi, Datuk Mohd Asri Ahmad.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








