BISNES & EKONOMI

NADI sasar digitalisasi 1,000 perniagaan kesihatan, kecergasan dan sukan menjelang 2027

PETALING JAYA – Sebanyak 1,000 perniagaan dalam sektor kesihatan, kecergasan dan sukan di Selangor disasarkan untuk melalui proses pendigitalan menjelang tahun 2027 menerusi pelancaran gerakan NADI oleh Katch International Sdn Bhd.

Gerakan yang dikenali sebagai NADI: Connecting Wellness, Fitness & Sports itu bertujuan menghubungkan pengusaha dalam tiga sektor berkenaan bagi memperkukuh kerjasama, mempercepat penggunaan teknologi digital serta meningkatkan akses rakyat terhadap perkhidmatan kesihatan, kecergasan dan sukan.

Program tersebut bermula dengan perhimpunan khas melibatkan 50 pemilik perniagaan kesihatan, kecergasan dan sukan yang berlangsung di Hyprground Pickleball, Seksyen 19, di sini hari ini.

Gerakan itu turut mendapat sokongan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang berkenan berangkat ke perhimpunan sulung berkenaan.

lee cheng yun
Lee Cheng Yun

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Katch International Sdn Bhd, Lee Cheng Yun berkata, kebanyakan pengusaha dalam industri tersebut masih bergantung kepada kaedah konvensional seperti aplikasi WhatsApp dan buku nota dalam menguruskan operasi harian.

“Melengkapkan mereka dengan alat digital yang sewajarnya bukanlah soal teknologi semata-mata. Ia soal seorang penduduk Selangor dapat mencari kelas, gelanggang atau klinik hanya dengan beberapa sentuhan skrin.

“Itulah tujuan utama usaha ini,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Penganjur Bersama NADI, Nicholas Lai Joon Lim berkata, inisiatif menghimpunkan pengusaha kesihatan, kecergasan dan sukan dalam satu platform mampu mewujudkan denyutan baharu kepada industri tersebut.

Menurutnya, pihaknya berhasrat membawa gerakan NADI ke setiap daerah di Selangor bagi memperluaskan manfaat kepada lebih ramai pengusaha dan pengguna.

“Melalui infrastruktur digital yang disediakan Katch, perniagaan yang terlibat berupaya memperkukuh aspek tempahan, keahlian, pakej dan pembayaran, manakala pengguna dapat mengakses perkhidmatan berkaitan dengan lebih mudah,” katanya lagi.

Perhimpunan sulung NADI turut mendapat sokongan beberapa rakan strategik termasuk TBH Wellness, Heliaa, Neuro, Capa+ (ProteinPlus), VictoAuthentic, PDC, Ticco dan Canton Boy.

Selain itu, sesi induk yang telah dikendalikan pitchIN dan Anytime Fitness memberi pendedahan kepada peserta mengenai kaedah mendapatkan pembiayaan serta mengembangkan perniagaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button