Tak sampai 24 jam segmen ‘Fadhlina Buat Apa’ dilancar, jetfloat berharga RM150,000 diluluskan bantu pelajar Orang Asli redah tasik ke sekolah
PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan, Datuk Fadhlina Sidek meluluskan kos pembinaan laluan menggunakan modul Jetfloat bernilai RM150,000 untuk kegunaan pelajar dan penduduk Orang Asli ke Sekolah Kebangsaan Iskandar, Bera, Pahang.
Menerusi satu hantaran dalam laman Thread, Fadhlina berkata, kelulusan itu dibuat selepas semakan dibuat dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang.
Katanya, ia selepas seorang guru di sekolah tersebut memohon bantuan bagi memudahkan pelajar dan penduduk di kawasan berkenaan melalui kawasan tasik ketika air surut.
“Saya telah membuat semakan dengan pihak JPN Pahang. Berdasarkan semakan tersebut, kos bagi laluan ini adalah sebanyak RM150,000 untuk modul Jetfloat. Lulus ya cikgu.
“Saya telah meminta pihak JPN untuk mengambil tindakan selanjutnya. Semoga usaha ini dapat memudahkan urusan cikgu serta memberi manfaat dan keselesaan kepada anak-anak,” katanya.
Terdahulu menerusi hantaran di laman Thread akaun le_akmal, beliau yang bertugas di SK Iskandar memuat naik keadaan laluan di tasik tersebut ketika air surut.
Menerusi hantaran balas dalam komen di Thread Fadhlina, beliau memohon supaya dapat ‘belanja’ kayu bagi membaiki titi di tasik itu.
Tasik tersebut merupakan laluan seharian pelajar berkenaan untuk ke sekolah tersebut.
“Dah ada bantuan bot dan enjin untuk kegunaan pelajar seberang tasik, tapi bila air surut bot tak lepas sampai ke tebing. Memang perlu buat titi.
“Sebelum ini cikgu dah buat titi tapi daif sikit la rupa dia. Kalau Datuk sedar posting ni boleh la belanja kayu untuk buat titi lawa lagi.
“Tak ada niat nak cari salah sesiapa pun. In fact, Isnin baru ni Pengarah JPN baru saja melawat kami kat pendalaman ni,” katanya.
Semalam, menerusi hantaran di laman media sosialnya, Fadhlina melancarkan segmen ‘Fadhlina Buat Apa’ yang memberi peluang kepada semua pihak untuk mengutarakan permasalahan dan cadangan di kawasan masing-masing.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








