Kerani rugi RM452,000 terpedaya individu menyamar sebagai bos
KUALA TERENGGANU – Seorang kerani kewangan sebuah syarikat mengalami kerugian RM452,000 selepas terpedaya dengan individu yang menyamar sebagai bosnya menerusi aplikasi WhatsApp, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa berusia 50 tahun menerima mesej daripada individu terbabit ketika berada di pejabat di Jalan Kamaruddin, kira-kira jam 3.24 petang.
Menurutnya, suspek menggunakan nama panggilan ‘Ken’ dan meminta mangsa menyemak baki akaun syarikat sebelum mengarahkannya membuat beberapa transaksi.
“Mangsa kemudian membuat tiga transaksi berjumlah RM452,000 ke dua akaun bank.
“Transaksi pertama berjumlah RM95,000 dibuat pada jam 3.53 petang ke akaun Bank Islam, diikuti RM212,000 ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) pada jam 4.56 petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azli berkata, transaksi ketiga berjumlah RM145,000 dibuat pada jam 5.24 petang ke akaun Bank Islam yang sama.
“Mangsa turut berhubung dengan seorang individu yang bertanggungjawab meluluskan transaksi berkenaan,” katanya lagi.
Beliau berkata, pada 25 Ogos, mangsa sekali lagi menerima mesej WhatsApp daripada individu sama yang meminta transaksi tambahan sebanyak RM235,000.
“Bagaimanapun, sebelum transaksi itu dibuat, individu yang meluluskan transaksi menghubungi bos sebenar mangsa untuk mendapatkan pengesahan.
“Bos terbabit kemudian memaklumkan bahawa beliau tidak pernah mengarahkan mangsa membuat sebarang transaksi berkenaan,” katanya lagi.
Susulan itu, mangsa menyedari dirinya diperdaya individu yang menyamar sebagai bos syarikat menerusi WhatsApp.
Azli berkata, wang berkenaan adalah milik syarikat dan mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






