BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

MHO dakwa skim pelaburan didalangi figura agama, perbankan popular

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim hari ini mendedahkan skim pelaburan yang dikaitkan dengan kehilangan wang berjumlah puluhan juta ringgit ‘didalangi’ seorang tokoh agama dan perbankan yang cukup popular dan dihormati.

Katanya, individu yang berada di belakang syarikat pelaburan itu terlalu ‘besar’ bahkan beliau sendiri pernah mengidolakan figura berkenaan.

“Seorang yang saya sendiri mengidolakan beliau kerana sangat popular dalam dunia pelaburan antarabangsa dan perbankan. Kalau di Malaysia ini dia sangat top,” katanya dalam satu sidang media di pejabat MHO di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai pelaburan itu, beliau mendedahkan setakat ini seramai 125 pelabur telah tampil membuat aduan dengan anggaran kerugian lebih RM60 juta.

Hishamuddin berkata, beliau mengesyaki berlaku salah laku dalam skim pelaburan tersebut yang menyebabkan ‘kehilangan’ wang dalam jumlah yang besar.

“Kita ada panggil (lembaga pengarah) mereka pada sesi sidang media hari ini untuk bentangkan ke mana wang itu pergi, tetapi mereka tidak datang.

“Disebabkan kes ini saya sendiri rasa sedih dan kesal kerana kes ini membawa imej yang tidak baik kepada Islam sebab individu ini adalah tokoh agama Islam, seorang yang pakar,” katanya.

Sidang media yang sama turut menampilkan Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman, suami kepada selebriti Heliza Hashim yang menepis dakwaan mengaitkannya sebagai dalang dalam skandal pelaburan yang menyebabkan pelabur kerugian puluhan juta ringgit setakat ini.

Mahadi menjelaskan penglibatan beliau di dalam syarikat pelaburan tersebut hanya sebagai perantara yang berperanan memperkenalkan skim itu kepada pelanggan berpotensi.

Dalam kata lain katanya, beliau hanya bertindak sebagai ‘jambatan’ dan tidak menyangka skim itu akan berakhir dengan kerugian besar yang ditanggung pelabur.

Bahkan katanya, dia sendiri melaburkan sejumlah wang yang besar iaitu sebanyak RM20.7 juta dalam dua entiti berkaitan antara 2021 hingga 2023.

“Kalau saya tahu ini akan berlaku, saya tidak akan sesekali ambil risiko sebesar ini.

“Saya tidak pernah pegang satu sen pun duit pelabur dan segala urusan melibatkan wang tidak perlu melalui saya.

“Saya bukan pemilik syarikat atau pengasas syarikat itu. Saya hanyalah perantara yang memperkenalkan pelabur dengan skim yang saya sendiri yakin pada waktu itu,” katanya dalam sidang media di pejabat MHO di sini, hari ini.

Mahadi berkata, beliau pada mulanya begitu yakin dengan tawaran pelaburan itu kerana dinaungi oleh individu yang berpengaruh, siap dengan taklimat oleh pihak syarikat, surat perjanjian, pengesahan penasihat syariah dan dokumen-dokumen yang teratur.

“Segala pelaburan dibuat setelah menerima dokumen lengkap – termasuk perjanjian bertulis, pengesahan penasihat syariah dan bahan-bahan rasmi lain yang ketika itu kelihatan sah dan meyakinkan,” katanya.

Namun nada beliau berubah apabila mengenangkan kerugian yang ditanggung rakan-rakan dan kenalan rapatnya yang menjadi mangsa dalam skim itu.

“Saya tanggung rasa bersalah yang amat berat. Ramai percaya pada saya… Saya pun percaya pada syarikat itu… Tapi akhirnya kami semua tertipu.

“Nama baik yang saya jaga selama ini kini tercalar. Tapi saya takkan lari. Saya akan terus berdiri, beri kerjasama dan bantu semua mangsa yang terlibat mendapatkan keadilan,” ujar beliau yang mengakui telah membuat laporan polis.

Beliau turut mengesahkan laporan polis telah dibuat dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam siasatan kes itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button