787 kes pelaburan tidak wujud, kerugian cecah RM115 juta
KUALA LUMPUR – Sebanyak 787 kes penipuan membabitkan pelaburan tidak wujud direkodkan sepanjang Januari lalu dengan jumlah kerugian mencecah RM115 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan lapan peratus berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan 732 kes.
Bagaimanapun, nilai kerugian mencatatkan penurunan tujuh peratus atau RM8.4 juta berbanding RM123 juta yang direkodkan pada Januari 2025.
“Kita harap masyarakat mengambil langkah sewajarnya untuk mengelak menjadi mangsa pelaburan tidak wujud. Antaranya menyemak kelayakan syarikat, berhati-hati dengan tawaran terlalu lumayan dan tidak membuat bayaran pendahuluan,” memetik BH online.
Menurutnya, sindiket kebiasaannya menggunakan iklan di media sosial dengan menawarkan kelas pelaburan percuma sebelum meminta mangsa membuat bayaran komisen.
“Mangsa kemudian dimaklumkan kononnya wang pengeluaran disekat oleh Bank Negara Malaysia dan diminta membayar cukai tertentu sebelum akhirnya menyedari mereka ditipu,” katanya lagi.
Sehubungan itu, orang ramai disaran membuat semakan melalui portal rasmi semakmule.rmp.gov.my sebelum melakukan sebarang transaksi serta merujuk senarai ‘Top Ten’ akaun kerap dilaporkan.
Mangsa juga diminta segera menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di talian 997 sekiranya menyedari telah membuat transaksi ke akaun sindiket penipuan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







