Peniaga wanita rugi RM10,000, beg galas dilarikan di tepi pasar raya
BALING – Seorang peniaga wanita berputih mata apabila wang tunai RM10,000 miliknya yang disimpan di dalam beg galas dilarikan individu tidak dikenali di tepi sebuah pasar raya di Kupang, di sini, kelmarin.
Menurut Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Richard Joe, pihaknya menerima laporan kehilangan wang tunai daripada wanita itu pada pukul 11.40 pagi.
“Pengadu mendakwa meletakkan Toyota Avanza serta beg galas mengandungi wang berkenaan pukul 8.30 pagi di lokasi kejadian untuk membeli barang keperluan di sebuah pasar raya.
“Selepas selesai membeli barang, pengadu terus balik ke rumah dan menyedari beg galas itu hilang dan tiada dalam kenderaannya.
Berikutan itu, pengadu kehilangan wang tunai RM10,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, Brandon berkata, seorang lelaki dipercayai warga tempatan berusia antara 20-an hingga 30-an membuka pintu hadapan bahagian penumpang kenderaan itu dan melarikan beg galas berkenaan.
“Wang tunai yang hilang adalah hasil perniagaan pengadu yang mahu disimpan dalam bank,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mencuri.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







