BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Serangan saksi kes terowong insiden samun, tiada kaitan ganggu saksi – PDRM

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan kejadian serangan ke atas seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri di sebuah kediaman mewah di Jalan Bukit Gasing hari ini adalah insiden samun dan tidak mempunyai kaitan dengan sebarang percubaan mengganggu saksi dalam kes mahkamah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu sekitar pukul 7.20 pagi.

“Siasatan awal mendapati sekumpulan lelaki bersenjata parang dan bertopeng telah memecah masuk kediaman mangsa sebelum melarikan beberapa barangan berharga yang disimpan dalam peti besi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, mangsa yang juga saksi penting dalam kes berprofil tinggi terowong dasar laut membabitkan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan.

“Akibat dilibas parang, mangsa cedera di tangan, selain mengalami luka di bibir dan bengkak di muka. Turut cedera ialah tiga individu lain iaitu dua pengawal keselamatan dan seorang pemandu peribadi,” ujarnya.

Kedua-dua pengawal keselamatan itu dilaporkan ditumbuk di muka, manakala pemandu mangsa turut mengalami kecederaan muka dan kesan merah di tangan dipercayai akibat diikat menggunakan kabel tight.

Penjenayah dipercayai melarikan diri melalui laluan hutan di bahagian belakang rumah mangsa.

Shahrulnizam turut menegaskan bahawa siasatan awal tidak menemui sebarang bukti yang mengaitkan kejadian ini dengan usaha mengganggu siasatan atau intimidasi terhadap mangsa sebagai saksi kes rasuah.

“Kes ini disiasat sebagai kes samun bersenjata dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button