
Rusia serang infrastruktur tenaga Ukraine pada Krismas
KYIV – Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, mengecam tindakan Rusia melancarkan serangan besar-besaran ke atas infrastruktur tenaga negara itu pada Hari Krismas, yang disifatkannya untuk melemahkan rakyat Ukraine ketika musim sejuk.
Serangan tersebut menyebabkan gangguan bekalan elektrik di seluruh negara, termasuk di ibu negara Kyiv dan memaksa penduduk berlindung di stesen metro.
Tentera udara Ukraine melaporkan, sebanyak 184 peluru berpandu dan dron dikesan, dengan sebahagian besar daripadanya berjaya dipintas.
Bagaimanapun, terdapat korban jiwa dalam insiden itu, namun jumlahnya masih belum didedahkan.
Rusia mengesahkan serangan itu, dengan mendakwa ia mensasarkan “kemudahan tenaga kritikal” dan semua sasaran berjaya dimusnahkan.
Syarikat tenaga terbesar Ukraine, DTEK berkata, serangan itu merupakan kali ke-13 sektor tenaga negara itu menjadi sasaran sepanjang tahun ini.
Presiden Zelensky dalam reaksinya menyifatkan serangan tersebut sebagai tindakan “tidak berperikemanusiaan”.
“Rakyat Ukraine tidak akan patah semangat walaupun pada Hari Krismas. Kami sedang berusaha memulihkan bekalan elektrik secepat mungkin,” memetik laporan BBC.
Zelensky turut berkata, serangan itu tidak akan mengganggu sambutan Krismas rakyat Ukraine.
“Ini merupakan tahun kedua Ukraine meraikan Krismas pada 25 Disember, menggantikan tarikh 7 Januari seperti diamalkan sebelum itu selaras dengan kalendar Julian,” katanya lagi.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, mengecam serangan itu yang disifatkan sebagai cubaan memutuskan bekalan tenaga kepada rakyat Ukraine ketika musim sejuk.
“Ini adalah serangan yang kejam dan bertujuan mengancam keselamatan grid tenaga Ukraine,” katanya.
Beliau turut meminta Jabatan Pertahanan AS untuk terus menyalurkan bantuan senjata kepada Ukraine bagi menghadapi serangan berterusan itu.
Di bandar Kharkiv, serangan menyebabkan setengah juta penduduk terputus bekalan air, elektrik, dan pemanas dalam keadaan suhu beku.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








