BERITA SEMASALUAR NEGARA

Israel digegar letupan besar peluru berpandu Iran, 180 cedera

TEL AVIV – Sekurang-kurangnya 180 individu cedera dalam serangan peluru berpandu Iran di bandar selatan Israel, Dimona yang merupakan lokasi kemudahan nuklear utama negara itu.

Turut terkena serangan bandar Arad yang terletak berhampiran dalam siri serangan paling dramatik sejak perang Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran bermula.

Kementerian Kesihatan Israel memaklumkan, sekurang-kurangnya 116 mangsa cedera di Arad, termasuk tujuh dalam keadaan serius, dengan kerosakan besar dilaporkan di pusat bandar.

Di Dimona pula, seramai 64 individu dilaporkan cedera, seorang daripadanya parah, susulan beberapa bangunan kediaman musnah akibat letupan dan serpihan peluru berpandu.

Laporan turut menyebut seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun antara yang tercedera dalam insiden berkenaan.

Televisyen rasmi Iran menyifatkan serangan pada Sabtu itu sebagai ‘tindak balas’ terhadap serangan ke atas kompleks pengayaan nuklear Natanz yang berlaku lebih awal pada hari sama, sekali gus menandakan fasa baharu dalam konflik berbalas serangan yang kini memasuki minggu keempat.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyifatkan malam berkenaan sebagai ‘sukar’ buat negaranya dan berikrar akan terus melancarkan serangan ke atas Iran.

Menurut media rasmi Iran, serangan AS-Israel sejak 28 Februari lalu telah mengorbankan lebih 1,500 nyawa, termasuk sekurang-kurangnya 200 kanak-kanak.

Jurucakap tentera Israel memaklumkan sistem pertahanan udara diaktifkan ketika serangan, namun gagal memintas beberapa peluru berpandu walaupun ia bukan daripada jenis luar biasa.

Pasukan bomba berkata, pemintas dilancarkan di kedua-dua bandar, namun gagal mengenai sasaran, menyebabkan dua peluru berpandu balistik dengan kepala peledak seberat ratusan kilogram mengenai sasaran secara langsung.

Rakaman video oleh saksi yang disahkan menunjukkan sebuah peluru berpandu menghentam bandar sebelum diikuti letupan besar, mencetuskan suasana panik dalam kalangan penduduk.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button