LUAR NEGARA

WSJ dakwa Israel bina pangkalan rahsia di Iraq

BAITULMAQDIS – Israel didakwa membina sebuah pangkalan tentera rahsia di kawasan padang pasir barat Iraq bagi menyokong operasi ketenteraan terhadap Iran dalam konflik yang semakin memuncak di Asia Barat.

Menurut laporan eksklusif The Wall Street Journal (WSJ), pangkalan sulit itu digunakan sebagai hab logistik, penempatan pasukan khas serta pusat operasi mencari dan menyelamat untuk membantu juruterbang Israel yang terlibat dalam serangan udara ke atas Iran.

Laporan itu mendakwa kemudahan berkenaan dibina dengan pengetahuan pegawai Amerika Syarikat (AS) sebelum perang antara Israel dan Iran tercetus secara terbuka.

Menurut sumber yang dipetik WSJ, pangkalan tersebut hampir terbongkar pada awal Mac lalu selepas seorang penggembala tempatan melaporkan aktiviti ketenteraan luar biasa termasuk penerbangan helikopter di kawasan berkenaan.

Tentera Iraq kemudian dihantar untuk melakukan pemeriksaan, namun laporan itu mendakwa pasukan terbabit diserang dari udara bagi menghalang lokasi sulit tersebut dikesan.

Insiden itu dilaporkan menyebabkan seorang anggota tentera Iraq maut manakala dua lagi cedera.

Kerajaan Iraq sebelum ini turut mengemukakan aduan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung serangan udara berkenaan dan pada peringkat awal mengesyaki penglibatan AS, namun Washington menafikan dakwaan itu.

Laporan WSJ itu muncul ketika konflik Israel-Iran terus meningkat dengan kedua-dua pihak saling melancarkan serangan ke atas sasaran strategik termasuk kemudahan ketenteraan, pelabuhan dan infrastruktur keselamatan.

Bagaimanapun, setakat ini tiada pengesahan rasmi dikeluarkan oleh Israel, Iraq atau AS berhubung kewujudan pangkalan tentera sulit tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button