BERITA SEMASA

Saman RM300,000: Akmal Saleh lelong Honda X-ADV, ikan tilapia

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, mengambil keputusan melelong motosikal Honda X-ADV dan ikan tilapia ternakannya bagi mengumpul wang untuk membayar ganti rugi RM300,000 selepas kalah dalam kes saman fitnah yang difailkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Menerusi kenyataan di media sosial, beliau berkata keputusan menjual kedua-dua aset itu terpaksa diteruskan walaupun agak berat hati kerana tidak mempunyai sumber kewangan lain untuk melunaskan jumlah berkenaan.

Menurutnya, beliau menghormati keputusan mahkamah dan bersedia memikul sepenuhnya tanggungjawab untuk menjelaskan bayaran itu.

Katanya, walaupun menerima banyak cadangan supaya membuka ‘tabung’ supaya orang ramai boleh membantu, beliau bertekad untuk berusaha dengsan cara sendiri dahulu.

“Saya menghormati keputusan mahkamah dan bersedia mematuhi perintah itu. Tanggungjawab untuk menjelaskan jumlah tersebut akan saya pikul sepenuhnya.

“Namun, izinkan saya berusaha sendiri dahulu,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua aset itu sudah habis dibayar dan boleh dijual, memandangkan beliau tidak mempunyai tanah atau rumah untuk dilepaskan bagi mencukupkan jumlah berkenaan.

Akmal mengakui keputusan menjual aset kesayangan itu bukan sesuatu yang mudah kerana masing-masing mempunyai nilai sentimental, namun beliau tidak mahu membebankan orang lain selagi masih mempunyai harta yang boleh diusahakan.

Bagi mereka yang berminat menyertai bidaan, beliau meminta pembida memasukkan deposit RM100 ke akaun Maybank atas nama Muhamad Akmal bin Saleh, bernombor 554053630464, sebelum menghantar resit berserta aset pilihan dan jumlah tawaran menerusi WhatsApp di talian 013-6232792.

“Deposit RM100 akan dipulangkan sepenuhnya sekiranya bidaan tidak berjaya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan sokongan, doa dan kata-kata semangat, sambil meminta mereka supaya tidak berasa serba salah sekiranya tidak dapat menyumbang atau menyertai bidaan.

Pada 19 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Melaka memerintahkan Akmal membayar ganti rugi RM250,000 dan kos RM50,000 kepada Teresa berhubung saman fitnah yang difailkan pada Oktober 2024.

Kes itu berpunca daripada video yang dimuat naik Akmal di TikTok pada 7 September 2024 susulan pertikaian berhubung cadangan mewajibkan pensijilan halal kepada restoran dan syarikat makanan yang tidak menghidangkan daging babi atau alkohol.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button