BERITA SEMASA

‘Saya doktor yang sah, berdaftar bukan menipu’ – Dr Akmal

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa orang ramai supaya membuat semakan status pengamal perubatan bagi memastikan doktor yang merawat mereka merupakan doktor sah dan berdaftar di Malaysia.

Menurut beliau, semakan boleh dibuat menerusi laman web Majlis Perubatan Malaysia (MMC) yang menyenaraikan nama serta nombor pendaftaran penuh semua doktor perubatan yang layak untuk beramal di negara ini.

Tangkap layar laman web MMC yang dimuatnaik Dr Akmal.

“Sekiranya tiada nama atau nombor pendaftaran penuh dalam sistem MMC, maka individu berkenaan bukan doktor yang layak untuk berpraktis di Malaysia,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata, semakan itu penting terutamanya apabila terdapat individu yang mendakwa diri mereka sebagai doktor perubatan bagi mengelakkan orang ramai terpedaya dengan doktor palsu.

Dr Akmal turut menjelaskan bahawa semakan melalui laman web MMC hanya terpakai untuk doktor perubatan manakala individu yang memiliki gelaran Doktor Falsafah (PhD) perlu dirujuk melalui platform atau badan berkaitan yang lain.

“Alhamdulillah, saya sendiri merupakan doktor perubatan yang sah dan berdaftar, bukan menipu,” katanya lagi.

Dr Akmal menegaskan, kesedaran orang ramai untuk membuat semakan sedemikian mampu membantu melindungi keselamatan pesakit serta mengekang penipuan yang melibatkan profesion perubatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button