Akmal Saleh nafi dakwaan DAPSY Melaka kerajaan negeri abaikan kebajikan rakyat
KUALA LUMPUR – EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Datuk Dr Akmal Saleh menempelak dakwaan kononnya kerajaan negeri Melaka tidak mengutamakan kebajikan rakyat.
Menurut beliau, pelbagai inisiatif berskala besar dan berimpak tinggi telah dilaksanakan ketika beliau menerajui portfolio sebelum ini, khususnya dalam aspek kesihatan rakyat serta kemajuan desa dan keterjaminan makanan.
“Kalau tidak faham, tanya. Kalau takut nak tanya saya, boleh tanya wakil rakyat DAP yang ada dalam Exco dan Timbalan Exco,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Hantaran berkenaan disertakan dengan tangkap layar berita bertajuk ‘Tiba masanya Melaka utamakan rakyat, bukan pelancong – DAPSY Melaka’.
Sehubungan itu, Ketua Pemuda UMNO itu mencabar pihak DAP supaya berani meletakkan jawatan sekiranya benar kerajaan negeri tidak mengutamakan rakyat.
“Kalau rasa kerajaan negeri yang kamu juga ada dalamnya tidak pentingkan rakyat, jangan sembang banyak. Letak jawatan sekarang. Berani hilang gaji dan elaun?” katanya.
Tegas beliau, kenyataan bahawa kerajaan negeri tidak membantu rakyat adalah tidak berasas memandangkan pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan.
“Ini baru di bawah portfolio yang saya pegang sebelum ini, belum lagi Exco lain. Jadi jangan jadi bebal. Sembang kencang sahaja tidak guna,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








