Bendera terbalik: Ahli Parlimen DAP tuntut penjelasan Ketua Polis Negara atas layanan berbeza atas kesalahan sama
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng mempersoalkan tindakan polis menahan dan mereman dua rakyat biasa selama empat hari dalam kes kesilapan pemasangan Jalur Gemilang di Kulai, Johor.
Beliau berkata, jika kesilapan memasang Jalur Gemilang benar-benar tidak disengajakan, segera diperbetulkan dan disusuli permohonan maaf, tiada pihak sepatutnya ditangkap.
Menurutnya, layanan berbeza diberikan dalam beberapa kes lain yang turut membabitkan kesilapan berkaitan Jalur Gemilang.
“Dalam kes Kulai, dua orang rakyat biasa ditahan dan direman selama empat hari, malah turut diuji air kencing.
“Dalam kes MCA Perak, pihak terlibat sekadar dirakam percakapan tanpa ditahan.
“Apabila Majlis Bandaraya Kuala Terengganu mengibarkan Jalur Gemilang tanpa bulan dan bintang, alasan ‘kesilapan teknikal’ diterima dan tiada tangkapan dilaporkan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Lim berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada tindakan polis berbeza berdasarkan status atau kedudukan pihak yang terlibat.
“Kesilapan hampir sama, tetapi layanan polis jauh berbeza. Adakah tindakan polis bergantung pada siapa yang terlibat?” soalnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Ketua Polis Negara memberikan penjelasan segera berhubung dakwaan layanan berbeza tersebut.
Katanya, sekiranya penjelasan munasabah gagal diberikan atau pihak berkuasa terus berdiam diri berhubung kes Kulai, Ketua Polis Negara wajar meletakkan jawatan atau dipecat.
“Polis tidak boleh bertindak keras terhadap rakyat biasa tetapi berlembut apabila melibatkan ‘VIP’ dan agensi kerajaan.
“Itu bukan keadilan. Itu pilih kasih,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








