BERITA SEMASAPOLITIK

Saya mahu tahu Akmal mahu serang siapa – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung kenyataan yang dibuat susulan peletakan jawatannya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka.

Ahmad Zahid berkata, beliau ingin memahami dengan lebih jelas maksud sebenar kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu, termasuk sasaran yang dimaksudkan dalam ucapannya.

“Saya ingin tahu dan saya akan jumpa beliau. Saya mahu tahu siapa yang hendak diserang dalam perkara ini,” katanya selepas melancarkan logo baharu Kelab UMNO Luar Negara di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menegaskan bahawa keputusan meletakkan jawatan sebagai Exco adalah pilihan peribadi dan tidak melibatkan arahan parti.

Terdahulu, Muhamad Akmal ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka.

Beliau berkata, langkah tersebut diambil bagi membolehkannya memberi tumpuan penuh kepada perjuangan menentang DAP, yang disifatkannya sebagai musuh sebenar parti.

Sementara itu, Ahmad Zahid menegaskan sebarang pandangan atau cadangan berkaitan hala tuju kerjasama politik wajar disalurkan melalui mekanisme rasmi parti.

“Itu cadangan dan saranan, namun keputusan muktamad dibuat oleh kepimpinan tertinggi UMNO, khususnya Majlis Tertinggi.

“Pandangan boleh dikemukakan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi apabila ia diadakan kelak,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button