Isu kemasukan pelajar: Akmal Saleh gesa Ka Siong mohon maaf kepada KPT
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Wee Ka Siong digesa memohon maaf kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berhubung kenyataannya mengenai isu kemasukan seorang pelajar cemerlang ke universiti awam.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, kenyataan awal Ka Siong memberi gambaran seakan-akan sistem kemasukan universiti rosak, sedangkan hakikatnya terdapat ramai lagi calon yang meraih merit lebih tinggi.
“Adik itu bukan tidak pandai, memang dia pandai. Tetapi ada lebih ramai pelajar kita yang sangat pandai dan layak berbanding adik ini.
“Meritnya 99.9 peratus tetapi hakikatnya ada lebih ramai pelajar yang dapat merit 100 peratus, manakala tempat di Universiti Malaya (UM) adalah terhad,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Akmal menegaskan, tuduhan kononnya sistem rosak adalah tidak wajar kerana ia mencemarkan imej baik KPT serta penjawat awam yang telah melaksanakan tanggungjawab mereka secara telus.
“Saya menganggap itu adalah satu tuduhan yang tidak patut dan mencemarkan nama baik kementerian.
“Kita (Pemuda UMNO) mendesak agar YB (Wee) menyatakan permohonan maaf kepada KPT kerana saya rasa para penjawat awam mereka telah melaksanakan tanggungjawab dengan sangat baik tanpa ada rasa prejudis kepada mana-mana golongan,” ujarnya.
Menurutnya, prinsip profesionalisme telah lama diterapkan dalam kalangan penjawat awam ketika menguruskan kemasukan pelajar ke universiti awam.
“Kalau malu nak minta maaf secara terbuka, YB jumpalah Menteri Pendidikan Tinggi dan mohon maaf,” tegasnya.
Terdahulu, Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam mendakwa seorang pelajar cemerlang tidak menerima tawaran ke program pengajian perakaunan di UM meskipun memperoleh keputusan yang baik.
Walau bagaimanapun, penjelasan KPT mendapati calon berkenaan memiliki merit 99.9 peratus, tetapi persaingan sengit berlaku apabila lebih ramai pelajar memperoleh merit 100 peratus sedangkan kapasiti tempat adalah terhad.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







