Jangan tolak tawaran UPU kerana masalah kewangan, KPT sedia bantu – Zambry
KUALA LUMPUR – Pelajar yang menerima tawaran kemasukan ke universiti diingatkan supaya tidak menolak peluang itu hanya kerana kekangan kewangan, sebaliknya diminta segera mendaftar dan memaklumkan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk mendapatkan bantuan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pelbagai bentuk sokongan kewangan tersedia termasuk inisiatif SULUNG dan bantuan awal pengajian menerusi Yayasan Perkasa Siswa (YPS).

“Jangan bimbang soal kewangan, jangan khuatir mengenai yuran atau perbelanjaan persediaan. Insya-Allah, kerajaan akan bantu dan permudahkan,” katanya dalam hantaran di Facebook semalam.
Menurut Zambry, antara kes yang mendapat perhatian ialah seorang pelajar, Ikram, yang hampir menolak tawaran ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) Arau, Perlis kerana masalah kewangan. Maklumat itu disalurkan oleh seorang pengguna Facebook, Wan Nurfarahin Wan Roslee yang prihatin terhadap jirannya.
Ekoran itu, pasukan UiTM Machang segera diarah turun padang bagi menemui pelajar berkenaan, malah sepupunya, Fairuz, yang mendapat tawaran ke Universiti Utara Malaysia (UUM) turut menghadapi masalah sama.
“Saya sendiri mengadakan panggilan video dengan kedua-duanya dan memberi jaminan agar mereka masuk mendaftar belajar,” jelasnya.
Beliau berkata, semangat kedua-dua pelajar itu amat menyentuh hati apabila mereka sanggup bekerja sebagai pembantu kedai burger dengan pendapatan RM20 sehari demi menampung keperluan, selain memperoleh keputusan cemerlang di peringkat matrikulasi – Ikram dengan PNGK 3.75 dan Fairuz 3.92.
Sehubungan itu, Zambry menyeru semua pelajar agar tidak melepaskan peluang keemasan melanjutkan pelajaran hanya kerana halangan kewangan.
“Saya sudah meminta semua Naib Canselor untuk membantu memudahkan urusan pendaftaran. Daftar dahulu, jika ada masalah kita akan bantu selesaikan. KPT dan semua IPTA sedia membantu mereka yang memerlukan,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada Wan Nurfarahin yang menyalurkan maklumat berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















