POLITIK

PRN Negeri Sembilan: Calon PH Serting mahu perkasa ekonomi belia FELDA

JEMPOL – Penyelesaian isu utiliti kediaman generasi baharu FELDA serta usaha meningkatkan peluang ekonomi golongan belia menjadi antara fokus utama calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serting, Yaacob Mahmood, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Menurutnya, kawasan FELDA menjadi tumpuan utama gerak kerja kempen memandangkan ia melibatkan kira-kira 51 peratus daripada 30,599 pengundi berdaftar di DUN berkenaan.

Beliau berkata, jentera PH kini memberi tumpuan kepada kawasan utama membabitkan FELDA Serting yang melibatkan Rancangan 1 hingga 4 serta Serting Hilir membabitkan Rancangan 1 hingga 7 termasuk FELDA Bandar Bahau.

“Kawasan FELDA di DUN Serting sebelum ini dilihat sebagai kawasan mencabar, namun menerusi pendekatan mendekati rakyat secara berterusan, kita melihat perubahan positif daripada penduduk.

“Jentera juga bergerak melalui dua pasukan khas bagi memastikan isu dan keperluan masyarakat dapat dikenal pasti dengan lebih dekat,” katanya kepada Malaysia Tribune selepas ceramah berkelompok di Felda Serting hari ini.

Mengulas isu penyambungan bekalan air dan elektrik bagi rumah generasi baharu FELDA, Yaacob berkata, perkara itu mendapat perhatian Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

“Komitmen daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun memberi ruang untuk isu berkenaan diselesaikan.

“Isu bekalan air dan elektrik ini akan dibantu sepenuhnya menerusi kerjasama kerajaan negeri dan persekutuan. Tiada halangan untuk usaha penyambungan kemudahan asas ini dilaksanakan,” katanya lagi.

Yaacob turut berkata, potensi tanah kosong di sekitar DUN Serting perlu dimanfaatkan bagi mewujudkan peluang ekonomi baharu kepada golongan belia.

‘Antara cadangan yang diketengahkan ialah projek pertanian komersial seperti tanaman serai dan nanas secara berskala besar.

“Tanah seluas 26 ekar untuk tanaman serai misalnya berpotensi menghasilkan sehingga 70 tan serai dengan peluang pendapatan mencecah RM11,000 sebulan kepada belia yang mengusahakannya.

“Selain itu, kita mahu menggalakkan anak-anak FELDA terlibat dalam pengurusan koperasi bagi menguruskan kawasan perniagaan serta premis sedia ada,” katanya lagi.

Beliau turut menyentuh isu capaian internet yang masih menjadi kekangan di beberapa kawasan kampung tradisi dan rancangan termasuk Bukit Laka serta Kampung Gajah Mati.

“Kemudahan internet yang lebih baik penting bagi menyokong aktiviti ekonomi, pendidikan dan kehidupan harian masyarakat,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi berdaftar termasuk lebih 1,000 pengundi awal di DUN Serting supaya keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button