BERITA SEMASA

Media sosial PRN Negeri Sembilan terkawal, MCMC terima 16 aduan – Fahmi

JEMPOL – Penyebaran maklumat di media sosial sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan setakat ini masih terkawal apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima 16 aduan sejak kempen bermula.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, daripada jumlah itu, 14 aduan membabitkan isu rangkaian telekomunikasi manakala dua lagi berkaitan akaun palsu.

Menurutnya, semua aduan berkenaan sedang diuruskan oleh MCMC.

“Hari ini hari keenam tempoh kempen dan masih berbaki kira-kira tujuh hingga lapan hari lagi. Setakat ini keadaan di media sosial nampak masih terkawal.

“Tetapi biasanya dalam tempoh 72 hingga 96 jam terakhir akan berlaku pecutan kempen daripada pelbagai pihak. Jadi kita harap tidak berlaku kebanjiran maklumat palsu terutama dalam tempoh kritikal itu,” katanya selepas Program Ziarah Kasih MADANI di Felda Palong 1 di sini hari ini.

Turut hadir calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, G Manivannan.

Sehubungan itu, Fahmi menggesa orang ramai supaya melaporkan kandungan yang dipercayai melanggar peraturan pilihan raya atau garis panduan platform media sosial kepada penyedia platform masing-masing.

“Sekiranya tiada tindakan diambil, aduan boleh dikemukakan kepada MCMC untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.

Fahmi berkata, hasil lawatan ke Felda Palong 1 mendapati masalah liputan internet lebih tertumpu di laluan utama menuju ke kawasan rancangan Felda berkenaan dan bukannya di dalam kawasan penempatan.

Menurutnya, MCMC telah diminta mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah itu kerana ia bukan sahaja menjejaskan kemudahan komunikasi penduduk, malah boleh memberi kesan kepada aspek keselamatan ketika berlaku kecemasan.

“Walaupun syarikat telekomunikasi telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai perkongsian rangkaian pada tahun lalu, pelaksanaannya masih belum cukup pantas untuk menyelesaikan masalah liputan di kawasan berpenduduk,” katanya lagi.

Beliau berkata, antara penyelesaian yang dikenal pasti termasuk pembinaan menara baharu, pengoptimuman menara sedia ada serta penggunaan kemudahan satelit seperti Starlink sebagai langkah sementara.

Tambahnya, syarikat telekomunikasi juga diminta menambah baik sistem maklum balas kepada pelanggan termasuk memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membolehkan pengguna menyemak status aduan mereka dengan lebih mudah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button