LUAR NEGARA

Kebakaran hutan Indonesia terburuk dalam 11 tahun

JAKARTA – Musim kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia yang masih berlarutan direkodkan sebagai terburuk dalam tempoh 11 tahun dengan pelepasan karbon dioksida antara tertinggi di dunia.

Data Fire Emissions Watch yang dibangunkan menerusi perkhidmatan pemantauan iklim Copernicus Kesatuan Eropah (EU) pula menunjukkan sebanyak 19.7 juta tan metrik karbon dioksida dilepaskan akibat kebakaran di Indonesia antara 1 hingga 7 September lalu.

Jumlah itu mengatasi rekod Rusia bagi tempoh sama dan menyumbang lebih satu pertiga daripada keseluruhan pelepasan global akibat kebakaran.

“Kebakaran yang berlaku di kawasan hutan dan tanah gambut yang kering terutama di Kalimantan dan Sumatera semakin buruk susulan keadaan cuaca yang dipengaruhi fenomena Super El Niño.

“Keadaan berkenaan menyebabkan suhu meningkat serta mencetuskan kemarau yang lebih teruk, sekali gus menjadikan kebakaran lebih mudah tercetus dan sukar dikawal,” lapor agensi berita antarabangsa.

Saintis kanan Perkhidmatan Pemantauan Atmosfera Copernicus, Mark Parrington berkata, keadaan El Niño menyebabkan kawasan menjadi lebih kering dan panas.

“Apabila berlaku pencetus kebakaran, api akan merebak dengan lebih ekstrem,” katanya.

Menurut data Copernicus, intensiti pelepasan daripada kebakaran di Indonesia antara 1 hingga 7 September pula melebihi 1,500 kilogram bagi setiap kilometer persegi, iaitu lebih 10 kali ganda berbanding paras yang direkodkan di Rusia.

Kepekatan tertinggi dikesan di Kalimantan selain kawasan timur Sumatera.

Jumlah pelepasan itu juga 273 peratus lebih tinggi berbanding purata bermusim, walaupun masih rendah berbanding 21.7 juta tan yang direkodkan dalam tempoh sama pada 2015.

Sementara itu, kumpulan alam sekitar YKAN berkata kira-kira 202,000 hektar kawasan di Indonesia terbakar antara Januari hingga Julai tahun ini.

Jumlah itu bersamaan kira-kira satu pertiga daripada keluasan kawasan yang terbakar dalam tempoh sama pada 2015.

Namun, data bagi Ogos menunjukkan peningkatan ketara sehingga kira-kira 600,000 hektar, khususnya di Kalimantan, Sumatera dan Papua Selatan.

Indonesia sebelum ini merekodkan kira-kira 2.6 juta hektar kawasan terbakar sepanjang 2015, iaitu keluasan lebih besar daripada negara Wales.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button